Kek lapis sepanjang 139.61 meter diiktiraf The Malaysia Book Of Records terpanjang di Malaysia

Seramai 20 pengusaha terlibat dalam penghasilan kek lapis sebanyak 720 biji kek yang terdiri daripada 33 jenis kek lapis itu - dayakdaily.com

KUCHING: Sejarah tercipta pada sambutan Hari Sarawak 2017 hari ini apabila sekumpulan pengusaha berjaya menghasilkan kek lapis sepanjang 139.61 meter yang diiktiraf The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai kek lapis terpanjang di Malaysia.

Seramai 20 pengusaha terlibat dalam penghasilan kek lapis sebanyak 720 biji kek yang terdiri daripada 33 jenis kek lapis itu.

Mereka berjaya membuat kek lapis itu dalam masa tiga hari mulai 19 Julai lalu dengan dibantu seramai 120 orang sukarelawan yang tediri daripada pelajar Kolej Komuniti dari cawangan Kuching, Mas Gading, Santubong, Betong dan Miri.

Berdasarkan rekod MBOR kek lapis terpanjang sebelum ini ialah 30.8 meter yang dicipta pada tahun 2011.

Majlis Perasmian Program The Longest Kek Lapis Malaysia Book of Records’ telah disempurnakan oleh Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Menteri Muda E-Dagang, Datuk Mohd Naroden Majais yang mewakili Timbalan Ketua Menteri m, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan di Plaza Merdeka, di sini, hari ini.

Naroden berkata, program itu sudah pasti menjadi satu lagi sejarah bagi masyarakat di negeri yang meraikan Hari Sarawak Ke-54 kali kedua.


Program ‘The Longest Kek Lapis Malaysia Book of Records’ itu dianggap sebagai satu lagi sejarah dan pencapaian terbaik bagi negeri ini sempena meraikan Hari Sarawak ke-54 tahun untuk tahun ke-2 sambutannya tahun ini.

“Dengan terciptanya rekod MBOR ini akan menyuntik semangat kepada pengusaha kek lapis untuk terus mempopularkan kek lapis Sarawak kepada masyarakat luar,” katanya.

Katanya, kemudahan teknologi pada hari ini seharusnya dimanfaatkan oleh pengusaha kek lapis untuk memasarkan produk mereka di luar.

“Usaha mempromosikan produk kini menjadi lebih mudah dengan ada laman sosial dan sebagainya,” katanya.


Turut diadakan pada majlis itu ialah penyampaian sumbangan dari pengusaha-pengusaha kek lapis berjumlah RM2,000 kepada lima badan kebajikan di sekitar bandar raya ini dan juga kepada dua pelajar fakir miskin dari Kolej Komuniti.

Orang ramai yang menghadiri majlis itu turut berpeluang membeli kek lapis yang dihasilkan menerusi jualan lelong. – dayakdaily.com