Kecemerlangan anak dalam pendidikan bermula dari rumah

Majang(tengah) bergambar bersama pelajar selepas program motivasi - dayakdaily.com

BINTULU: Kecemerlangan anak dalam bidang pendidikan bermula dari rumah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Majang Renggi.

Katanya,penampilan ibu bapa adalah contoh terbaik kepada pelajar untuk dijadikan ‘role model’ kepada mereka dalam menghadapi segala ujian getir dunia pendidikan negara yang mencabar.

“Masyarakat Bumiputera harus mencontohi komuniti Cina dalam kesungguhan mereka untuk menghantar dan mendapatkan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak.

“Jika kita lihat sejak dahulu lagi dalam perkara berkaitan dengan memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak, masyarakat Cina sanggup melakukan apa sahaja, malah mereka begitu memberi perhatian dengan kebolehan dan bakat dimiliki oleh anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penutupan Program Motivasi Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017 Sekolah Kem Batu 18 Bintulu dengan kerjasama Sarawak Dayak Graduate Association (SDGA), di sini, semalam.

Katanya, masyarakat Cina sedar dan prihatin dengan bakat dan kebolehan yang ada pada anak-anak mereka.

“Dari situasi tersebut, jika kita lihat sekiranya anak-anak mereka tidak cemerlang dalam bidang akademik, golongan ibu bapa akan mencuba pendekatan lain iaitu dengan memfokuskan bidang kemahiran, terutama memberi pendidikan dan pengetahuan yang berasaskan teknikal,” katanya.

Beliau memuji usaha yang ditunjukkan oleh SGDA dalam usaha untuk memperkasakan bidang pendidikan di luar bandar di kalangan generasi muda di negeri ini.

“SGDA harus meneruskan usaha murni dalam membantu pihak sekolah khususnya di kawasan pedalaman yang serba kekurangan dari segi kemudahan infrastruktur dalam memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak,” katanya. – dayakdaily.com