Kecemerlangan Akademik Harus Seiring Dengan Kemahiran

Uggah (tengah) menyampaikan plak kepada pelajar terbaik STPM

BETONG: Kejayaan dalam bidang kerjaya, tidak hanya bergantung kepada segulung ijazah mahupun diploma yang diperoleh, sebaliknya perlu disertakan dengan kemahiran, pengalaman dan kemahuan untuk berubah yang tinggi.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, transformasi minda itu perlu disematkan dalam diri pelajar bahawa segulung ijazah dan kemahiran itu perlu seiring.

“Kita tidak mahu tanggapan untuk merasa cukup dengan segulung ijazah dan diploma menjadikan pelajar, mahupun graduan leka sedangkan pasaran pekerjaan menuntut lebih daripada itu,” katanya di Majlis Penghargaan Pelajar Cemerlang Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Datuk Patinggi Kedit di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Lubok Antu, Datuk William Nyalau Badak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu dan Pemangku Residen Bahagian Betong Friday Belik.

Katanya, saingan mendapatkan pekerjaan terutama dalam sektor industri begitu mencabar kerana majikan lebih gemar mencari mereka yang mempunyai kemahiran, pengalaman, kesungguhan disamping ijazah dan diploma yang diperoleh.

Ahli Parlimen Betong itu berkata,untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan amalan membaca perlu disemai dari peringkat kanak-kanak lagi.

“Ibu bapa boleh menjadi ‘role model’kepada anak-anak.Anak-anak perlu didedahkan kepada bahan bacaan sejak kecil lagi agar minat membaca buku dapat dipupuk.

“Sekiranya minat membaca dapat dipupuk sejak kecil,mereka akan menjadikan membaca sebagai satu kebiasaan,” katanya.

Bagi menyemai amalan membaca di kalangan pelajar Uggah turut menyumbang RM10,000 untuk membeli bahan bacaan ilmiah bagi kegunaan sekolah tersebut. – dayakdaily.com