Kebakaran rumah panjang Siliver Garik Kenyungan, 19 keluarga hilang tempat tinggal

Sebanyak 19 keluarga hilang tempat tinggal dalam kebakaran membabitkan rumah panjang Siliver Garik Kenyungan Batu Lintang, Undop, di sini malam tadi. Kebakaran ini telah memusnahkan seratus peratus rumah panjang dua tingkat berkenaan. -JBPNS

SRI AMAN: Sebanyak 19 keluarga hilang tempat tinggal dalam kebakaran membabitkan rumah panjang Siliver Garik, Kenyungan Batu Lintang, Undop, di sini malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, berdasarkan maklumat daripada penduduk kebakaran yang berlaku pada jam 11 malam itu dipercayai
bermula dari pintu nombor tujuh di tingkat atas sebelum merebak.

“Kebakaran ini telah memusnahkan seratus peratus rumah panjang dua tingkat berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.32 malam.

“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman menggunakan sebuah Scania, EMRS, Hilux dan Urvan dengan kekuatan seramai 15 orang anggota diketuai PPgB William Baheng dibantu BBP Betong bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan,” katanya.

Katanya,operasi memadam kebakaran menggunakan kaedah ‘relay pumping’, sumber air terbuka (air paya) menuruni cerun rumah panjang bagi membekalkan air yang jaraknya 400 kaki dari jentera.

“Kemudian aliran pertama 200 kaki, dua nozel menjalankan pemadaman di bahagian hadapan rumah panjang, manakala aliran kedua 400 kaki tiga nozel iaitu satu nozel membantu memadam di bahagian hadapan dan dua lagi nozel memadam di bahagian belakang.

“Ditambah saru aliran salur bantu mula bagi bantuan pemadaman di bahagian hadapan manakala BBP Betong bantuan anggota dan tenaga untuk operasi pemadaman di lokasi,” katanya.

Katanya, operasi memadam kebakaran itu ditamatkan pada jam 4 pagi.

“Tiada ada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.Punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

“Pasukan daripada Rejimen Askar Melayu DiRaja (13 RAMD) Kem Pakit, Sri Aman juga turut tiba di lokasi bagi memberikan bantuan bekalan makanan kepada mangsa kebakaran,” katanya.

Katanya, pada masa ini 40 orang penghuni yang terjejas menumpang bersama saudara yang berdekatan. – dayakdaily.com