Kebakaran di Belaga lagi, kini melibatkan kuarters kerajaan

Anggota tentera dan agensi kerajaan berkaitan sedang mengangkat barangan keperluan untuk dihantar kepada mangsa kebakaran di rumah panjang di Sungai Asap, Belaga. - JBPNS

BELAGA – Semalam kejadian melibatkan sebuah rumah panjang, hari ini kuarters kerajaan pula musnah dalam kebakaran di Pekan Belaga di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 pagi itu, sebuah blok bangunan yang melibatkan empat pintu musnah terbakar 100 peratus.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Belaga menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5 pagi.

Menurutnya, lima anggota PBS Belaga diketuai Abu Talib Mohd Mokhtar kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja pemadaman api.

“Sebaik tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian, anggota PBS mendapati api sedang marak membakar kuaters kerajaan itu.

“Api cepat marak disebabkan struktur bangunan yang diperbuat daripada kayu dan papan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, bagaimanapun tiada laporan kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.

Katanya, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 7.30 pagi dengan menggunakan sumber air pili bomba ke pam angkut milik PBS Belaga dengan aliran 100 kaki hos dua nozel.

“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi disiasat,” katanya.

Dalam pada itu, Tiong memberitahu, bantuan keperluan asas kepada mangsa kebakaran di Rumah Panjang Uma Badeng, Sungai Asap sedang dibawa dari Bintulu dengan menggunakan trak tentera.

Ends