Kayu balak haram di paku, elak kecurian

Kayu-kayu yang telah dipaku dengan paku besi tersebut boleh merosakkan mesin pemprosesan.- Jabatan Hutan Sarawak

KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak telah mempertimbangkan beberapa kaedah pemusnahan balak-balak haram di negeri ini yang dirampas dan tidak berjaya dilupuskan melalui Harwood Timber Sdn. Bhd.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan jabatan itu hari ini, kaedah pemusnahan yang akan dilakukan adalah dengan memaku kayu rampasan tersebut dengan paku-paku besi dalam pelbagai saiz di sepanjang batang balak berkenaan.

“Kaedah pemusnahan ini perlu dilaksanakan kerana berlaku dimana kayu rampasan yang telah dipotong (dimusnahkan) berkemungkinan dilarikan dan berkemungkinan dijual kepada pengilang-pengilang pemerosesan kayu yang berdekatan,” katanya.

Justeru itu, katanya, Jabatan Hutan Sarawak ingin memberi peringatan kepada semua pihak terutama pengusaha kilang-kilang papan agar tidak membeli atau memproses kayu-kayu balak haram tersebut atas faktor keselamatan.

“Perlu diingatkan, kayu-kayu yang telah dipaku dengan paku besi tersebut boleh merosakkan mesin pemprosesan mereka.

“Ini secara tidak langsung juga boleh menyebabkan kemalangan dan menjejaskan keselamatan pekerja mereka,” katanya. -dayakdaily.com