Kawasan wabak rabies di Sarawak terus meningkat, dua kawasan terbaharu diwartakan

KUCHING – Jumlah kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies terus meningkat di negeri ini apabila dua lagi kawasan terbaru terjejas dengan virus anjing gila itu.

Dua kawasan tersebut ialah Kampung Entubuh, Tebedu dan Batu 5, Jalan Semeba di sini.

Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan akhbar memberitahu, pengisytiharan dua kawasan itu sebagai kawasan wabak rabies dibuat selepas terdapat kes positif virus rabies pada anjing di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Sehubungan itu, semua penduduk yang menetap di kawasan tersebut diminta agar sentiasa berjaga-jaga daripada terkena gigitan anjing.

“Selain itu, para pemilik anjing peliharaan juga dikehendaki menjaga haiwan di kawasan rumah masing-masing dan tidak membiarkan ianya berkeliaran,” kata JPBNS dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Dayakdaily.com sebelum ini melaporkan terdapat 18 buah perkampungan yang sudah diwartakan sebagai kawasan rabies iaitu 16 kampung di daerah Serian dan masing-masing satu kampung di Tebedu dan rumah panjang di Sri Aman.

Kerajaan juga sudah mengeluarkan peruntukan mencecah RM3 juta dalam usaha membendung penularan wabak rabies atau penyakit anjing gila di Sarawak.

Daripada jumlah peruntukan itu, kira-kira RM2.4 juta telah disalurkan oleh kerajaan Persekutuan, manakala selebihnya disediakan kerajaan negeri ini.

Perbelanjaan yang dikeluarkan oleh kerajaan itu adalah untuk membeli vaksin anti-rabies serta pelbagai peralatan berkaitan untuk menjalankan kerja-kerja pemvaksian di sekitar kawasan wabak rabies.

Sebelum ini, empat kanak-kanak malang yang sah dijangkiti virus rabies telah meninggal dunia.

Seorang lelaki berusia 52 tahun, berasal dari Kampung Remun, Serian turut disahkan dijangkiti virus rabies dan masih mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak. -dayakdaily.com