Kaum bapa masih kurang berminat serta kursus keibubapaan dan kekeluargaan -Rohani

Rohani (tengah) bergambar bersama penerima subsidi Mamogram dan Vaksinasi LPPKN - dayakdaily.com

SEBUYAU: Kaum bapa masih kurang berminat menyertai kursus keibubapaan dan kekeluargaan berdasarkan rekod pihak Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sarawak apabila hanya seramai 1,336 orang atau 31.87 peratus sahaja kaum bapa yang hadir bagi tempoh Januari 2015 hingga Julai tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Rohani Karim berkata,bagi tempoh yang sama kehadiran kaum ibu adalah seramai 2,856 orang atau 68.13 peratus.

“Hal ini menunjukkan kurangnya minat kumpulan bapa melibatkan diri dalam kursus-kursus keibubapaan berbanding aktiviti lain.

“Stigma bahawa kaum ibu sahaja perlu mendalami ilmu keibubapaan perlu diperbetulkan,” katanya ketika
merasmikan Program Nang Rindok@LPPKN di dewan pembangunan, di sini hari ini.

Katanya, peranan bapa dalam membentuk sesebuah keluarga sangat penting sedangkan ibu hanyalah penyokong kekuatan seorang bapa.


“Bagaimanapun, secara keseluruhannya penglibatan ibubapa dalam program-program kekeluargaan selain kursus masih di tahap yang baik,” katanya.

Katanya,jika diambil dari statistik tiga tahun kebelakangan secara keseluruhan seramai 75,992 orang telah mendapat manfaat daripada program-program pembangunan keluarga LPPKN, dengan 31,539 (42%) penglibatan kaum bapa dan 44,453 (58%) penglibatan kaum ibu.

Dalam masa sama Rohani juga menambah, kesedaran terhadap kesihatan reproduktif wanita di Sarawak berada di tahap sederhana.

“Rekod Klinik Nur Sejahtera LPPKN Sarawak, daripada 2011 hingga kini seramai 12,818 orang wanita telah menjalani ujian pap smear bagi pengesanan awal kanser serviks (pangkal rahim).

“Manakala 56,879 orang wanita telah menjalani pemeriksaan payudara, dan 56,125 telah menjalani ujian mamogram bagi pengesanan awal kanser payudara,” katanya. – dayakdaily.com