Kanak-kanak tanggung kesakitan, kaki tercucuk serampang ikan

Jude dari Kampung Koran Empaneg, Serian menahan kesakitan ketika menerima di Hospital - JBPNS

SERIAN: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan apabila kakinya tercucuk serampang ikan petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, dalam kejadian yang berlaku pada jam 4.41 petang itu, Jude Dunstion Ken,9, dari Kampung Koran Empaneg di sini, sedang menangkap ikan menggunakan serampang.

“Tiba-tiba kaki kiri bahagian buku lalinya tercucuk serampang ikan.

“Kita menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian ini daripada pihak hospital Serian memaklumkan ada seorang mangsa cedera terkena cucukan serampang ikan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian menggunakan sebuah FRT dan EMRS seramai lima anggota diketuai PB Abang Sangkawi bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan.

“Kita mengambil masa kira-kira 17 minit untuk mengeluarkan besi yang melekat di kaki mangsa,” katanya.

Katanya, pemotongan serampang ikan itu telah berjaya dilakukan menggunakan ‘bolt cutter’.

“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, operasi berkenaan telah berjaya ditamatkan pada jam 4.58 petang. – dayakdaily.com