Kanak-kanak lelaki pecah kepala, maut angkara bermain mercun

Kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah malam itu mengakibatkan mangsa, Haiqal Hakim Zolpaka meninggal dunia di serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya. - PDRM

KUCHING: Keseronokan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun bermain mercun sempena sambutan Hari Raya di Kampung Bintawa Hilir di sini berakhir dengan tragedi selepas dia maut dalam keadaan ngeri apabila bahagian atas kepalanya pecah dipercayai terkena letupan kuat mercun dalam satu kejadian tengah malam semalam.

Kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah malam itu mengakibatkan mangsa, Haiqal Hakim Zolpaka meninggal dunia di serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Menurut sumber, sebelum kejadian, murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Matu Baru di sini dikatakan bermain mercun di halaman rumah keluarganya seorang diri.

Bagaimanapun katanya, malang menimpa kanak-kanak terbabit apabila mercun yang tidak meletup pada mulanya tiba-tiba meletup hingga terkena bahagian kepalanya.

“Terkejut dengan bunyi letupan kuat dari luar rumah, bapa mangsa segera keluar memeriksa keadaan itu sebelum mendapati anak lelakinya dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Abang Ahmad Abang Julai mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Katanya, siasatan awal mendapati kanak-kanak malang tersebut dikatakan telah bermain mercun di luar rumah seorang diri sepanjang malam.

“Bapa mangsa juga memaklumkan anaknya itu selalu bermain-main di luar rumah bersendirian.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak iaitu kecuaian ibu bapa,” katanya.

Sambil menambah, kes maut yang berlaku akibat bermain mercun itu kemungkinan yang pertama di negara pada tahun ini. – dayakdaily.com