Kanak-kanak lelaki 7 tahun, disahkan mangsa keenam dijangkiti virus rabies

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memberitahu, kes keenam tersebut melibatkan seorang kanak-kanak lelaki yang berusia tujuh tahun dan berasal dari Kampung Kuala, Gedong dekat sini. - file pic

KUCHING – Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengesahkan terdapat satu lagi mangsa terbaharu iaitu kes keenam melibatkan seorang pesakit yang dijangkiti virus rabies atau penyakit anjing gila di negeri ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memberitahu, kes keenam tersebut melibatkan seorang kanak-kanak lelaki yang berusia tujuh tahun dan berasal dari Kampung Kuala, Gedong dekat sini.

Menurut JPBNS, berdasarkan laporan daripada JKNS, mangsa dikatakan mempunyai sejarah digigit anjing pada 17 Jun lalu.

“Selepas itu, kanak-kanak terbabit telah menerima tiga dos suntikan vaksin anti-rabies di Hospital Serian pada 21, 24, dan 28 Julai lalu.

“Bagaimanapun, pada 1 Ogos lalu, pesakit mula mengalami demam, batuk dan muntah dan dimasukkan ke wad Hospital Serian.

“Keadaan pesakit semakin merosot dengan mengalami perubahan sikap dan halusinasi dan sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini pada 3 Ogos lalu,” kata JPBNS dalam satu kenyataan akhbar di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, JPBNS memberitahu, kanak-kanak berkenaan kini masih menerima rawatan lanjut di HUS dan terpaksa diberi alatan sokongan pernafasan kerana berada dalam keadaan kritikal.

“Ujian makmal yang dilakukan ke atas kanak-kanak hari ini (8 Ogos) menunjukkan dia positif virus rabies,” ujar JPBNS lagi.

dayakdaily.com sebelum ini melaporkan kelima-lima mangsa yang dijangkiti virus rabies telah meninggal dunia.

Sehingga kini, terdapat 22 buah kawasan yang masih diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies, namun dalam keadaan terkawal.

Kawasan-kawasan wabak rabies ialah di Kampung Krait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paon Rimu Bakung, Kampung Remun, Kampung Lebor, Kampung Saroban, Kampung Tangga dan Kampung Ampungan.

Kawasan lain ialah, Kampung Mentong Berawan, Kampung Mentong Silaga, Kampung Engkabang, Kampung Tampek Sumpas, Kampung Rasau, Pekan Siburan, Bandar Serian, Batu 45, Kuching-Sri Aman, Kampung Temong Mura, Rh. Janta Punggu Mawang, Kampung Entubuh, Batu 5, Jalan Semeba, Pasar Basah Sungai Maong dan Kampung Serikin, Bau.- dayakdaily.com