Kampung Saroban, Serian kawasan baharu wabak rabies

Perkampungan yang diisytihar sebagai kawasan wabak rabies di Serian. - dayakdaily.com

KUCHING – Kerajaan negeri hari ini mengisytiharkan Kampung Saroban, Serian dekat sini sebagai perkampungan terbaharu kawasan wabak rabies atau jangkitan penyakit anjing gila.

Pengisytiharan jangkitan atau wabak penyakit anjing gila tersebut digazetkan di bawah Seksyen 37 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan berkata, kampung tersebut diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies susulan seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun yang berasal dari situ disahkan disahkan positif dijangkiti virus rabies.

Kenyataan sama juga memberitahu, sebelum itu kanak-kanak terbabit dilaporkan mempunyai sejarah gigitan anjing pada 27 Mei lalu di Kampung Saroban, Serian.

Dayakdaily.com sebelum ini melaporkan lima kampung di Serian iaitu Kampung Kerait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paun Rimu Bakung, Kampung Remun dan Kampung Lebor turut diisytihar kawasan wabak rabies.

Sementara itu, dua beradik, Jackson Mazlan, 4, dan kakak­nya, Monica, 6, dari Kampung Paon, Sungai Rumi, Serian yang turut sah dijangkiti virus rabies telah meninggal dunia pukul 1.43 dan 1.46 di HUS pada 4 Julai lalu.

Sehingga hari ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak telah memvaksinkan 1,183 binatang peliharaan di kampung yang telibat dengan wabak rabies iaitu Kampung Krait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paon Rimu Bakong, Kampung Remun, Kampung Lebor, Kampung Empasa dan Kampung Tong Nibong.

Daripada jumlah tersebut, 241 anjing, 929 kucing dan 13 haiwan lain seperti kera dan tupai telah disuntik vaksin anti-rabies,” kata kenyataan itu. – dayakdaily.com