Kampung Kudei Iban, kampung tradisi terbaik

Shukarmin (tiga kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil Kampung Kudei Iban - dayakdaily.com

KUCHING: Kampung Kudei Iban diumumkan pemenang kategori Kampung Tradisi Terbaik di bawah Anugerah Desa Perdana Bahagian Kuching 2017 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Sarawak.

Selaku johan, Kampung Kudei Iban menerima wang tunai berjumlah RM 5,000 beserta sijil penyertaan.

Naib johan dimenangi oleh Kampung Danu, Padawan membawa pulang RM4,000 beserta sijil penyertaan manakala tempat ketiga, Kampung Telaga Air menerima wang tunai berjumlah RM3,000 dan juga sijil penyertaan.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Residen Bahagian Kuching, Shukarmin Chasemon selaku penganjur bersama anugerah berkenaan.

Sebanyak lima buah kampung telah menyertai pertandingan pada peringkat awal.

Penilaian telah dijalankan bermula dari 28 April hingga 30 April lepas.

Penghakiman dan penilaian merangkumi lapan aspek utama iaitu Patriotisme dan Kemasyarakatan, Kepimpinan dan Pentadbiran, Pendidikan dan Latihan, Ekonomi dan Keusahawanan, Pemerkasaan Peranan Belia, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Kebersihan, Kesihatan dan Keceriaan dan Pengawasan Kemudahan Aset.

Panel hakim terdiri daripada Pejabat Residen Kuching (Ketua Hakim), Pejabat MARA (Timbalan Ketua Hakim), Jabatan Penerangan Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Jabatan Kebajikan, Jabatan Pertanian, Jabatan Belia dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuching Utara, Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri (Jabatan Ketua Menteri), Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching dan Jabatan Kerja Raya. – dayakdaily.com