JKNS sahkan 34 kes serangan anjing gila di Sarawak setakat ini

File pictures of stray dogs. Strays are being rounded up within the containment area in Serian. -dayakdaily.com

KUCHING – Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengesahkan terdapat 34 kes serangan anjing gila atau rabies di negeri ini setakat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Profesor Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, statistik terkini kes serangan anjing gila itu adalah berdasarkan kepada survei yang dijalankan setakat semalam.

Menurut beliau, survei yang dilakukan pasukan kesihatan itu dilakukan di beberapa buah kampung di sekitar Serian iaitu di Kampung Paon Sungai Rimu Bakung dan Kampung Lebur, Gedong.

“Kerajaan negeri turut memperuntukkan dana sebanyak RM100,000 untuk membeli vaksin dan dapat dibekalkan kepada pesakit yang memerlukan.

“Buat masa ini, ketiga-tiga mangsa yang kritikal masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Umum Sarawak dan keadaan kesihatan mereka tidak banyak berubah,” katanya.

Dr Sim menambah, kerajaan negeri juga sedang menyiapkan klip video untuk mendidik masyarakat mengambil tindakan segera ketika digigit anjing selain mengenal pasti anjing yang dijangkiti virus rabies.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak, Dr Jamilah Hashim berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kes terbaharu jangkitan penyakit itu.

Jelasnya, pasukan kesihatan telah berada di kampung-kampung mangsa sejak 29 Jun lalu dan masih meneruskan aktiviti ‘active case detection’ dari rumah ke rumah untuk mencari kes yang mengalami gigitan anjing.

“Kawalan anjing pula dilaksanakan oleh Jabatan Veterinar,” katanya.

Pada 30 Jun lepas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiga kanak-kanak termasuk dua beradik dijangkiti virus rabies di Kampung Paon Sungai Rimu Bakung dan Kampung Lebur, Gedong, dalam daerah Serian, dan sedang dirawat di ICU HUS.

Dua beradik terbabit, kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan kakaknya enam tahun, manakala mangsa ketiga kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun. – dayakdaily.com.