JKKP Sarawak minta majikan ambil berat keselamatan dan kesihatan pekerja di sektor pembinaan

Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sentiasa mengambil berat isu keselamatan dan kesihatan pekerja yang bekerja di sektor pembinaan - dayakdaily.com

KUCHING: Isu keselamatan dan kesihatan pekerja yang bekerja di sektor pembinaan diambil serius oleh pihak Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Timbalan Pengarah Operasi JKKP Sarawak, Mut Sagai berkata, keselamatan dan kesihatan pekerja di sektor pembinaan yang juga dikategorikan sektor bahaya, kotor, dan sukar adalah tanggungjawab semua pihak iaitu majikan, kerajaan, dan pekerja.

“Selain usaha pihak JKKP dalam menguatkuasakan Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP/OSHA) 1994, pihak majikan juga perlu mengambil serius dalam memastikan tempat kerja dan suasana kerja yang selamat.

“Seperti yang termaktub dalam Seksyen 15 AKKP, adalah menjadi kewajipan tiap-tiap majikan dan tiap-tiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan, setakat yang praktik , keselamatan, kesihatan, dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya,” katanya.

Mengulas lanjut, mengenai penguatkuasaan dan operasi di sektor pembinaan, katanya, aspek keselamatan dan kesihatan di tapak bina seharusnya diberi keutamaan bukan hanya pada projek yang bertaraf mega, bahkan juga terhadap projek-projek yang kecil bagi memastikan kemalangan dapat dicegah.

“Ini kerana ramai yang akan terlibat secara langsung dan tidak langsung apabila berlakunya sesuatu kemalangan.

“Keluarga si mangsa akan kehilangan orang yang disayangi dan sumber pendapatan mereka, pihak kontraktor pula, akan kehilangan pekerja yang terlatih dan terpaksa menanggung kos yang tinggi akibat projek tergendala, serta peningkatan kos perubatan dan premium insurans,” katanya.

Katanya, mereka terpaksa berhadapan dengan pihak berkuasa seperti JKKP jika didapati melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967 atau Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Statistik JKKP menunjukkan bahawa industri pembinaan merupakan satu daripada empat industri penyumbang utama kemalangan di tempat kerja. Lima tahun purata kes kematian bagi industri ini adalah 99 pekerja setiap tahun (dari 2011 hingga 2015).

“Kadar kecederaan maut per 100,000 pekerja pembinaan pada tahun 2015 adalah 10.94, iaitu lebih tinggi daripada purata kadar kecederaan maut bagi lima tahun (2011- 2015) iaitu 8.17.

“Arah aliran kecederaan maut pekerja pembinaan menunjukkan peningkatan sejak tahun 2012, dan seramai 140 pekerja pembinaan telah maut pada tahun 2015, iaitu tertinggi dicatatkan sejak 2001 dan tertinggi di abad ke-21,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam perkara itu. – dayakdaily.com