Jari tersekat dalam lubang spanar, kanak-kanak tahan sakit lebih sejam

KUCHING – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun terpaksa menahan kesakitan lebih dari sejam selepas jari manis tangan kirinya tersekat di dalam lubang sebatang spanar dalam satu kejadian di Kampung Gita di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 2.35 petang itu berlaku ketika mangsa, Areel Iqram Mokhtar, 12, dikatakan sedang bermain-main dengan peralatan tersebut di luar rumah keluarganya.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.39 petang.

Menurutnya, sejurus menerima laporan insiden itu, seramai 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya bergegas ke lokasi untuk melakukan khidmat khas mengeluarkan jari kanak-kanak berkenaan.

“Sebelum itu, ahli keluarga kanak-kanak tersebut cuba mengeluarkan jari mangsa dengan menggunakan air sabun, namun usaha mereka gagal.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 50 minit untuk memotong spanar itu menggunakan peralatan khas sebelum jari mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya.

Tiong menambah, operasi khas mengeluarkan jari kanak-kanak itu tamat sepenuhnya pada pukul 3.44 petang.

“Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” ujarnya lagi. – dayakdaily.com