Jangan Boros Menjelang Gawai

Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom

BINTULU: Masyarakat Dayak di negeri ini diingatkan agar tidak boros berbelanja sempena perayaan Hari Gawai yang akan disambut tidak lama lagi.

Menteri Elektrik Luar Bandar dan Bekalan Air, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sambutan Hari Gawai memadai disambut secara sederhana mengikut kemampuan masing-masing.

“Janganlah kita habiskan semua gaji untuk perbelanjaan Gawai. Selepas itu kita tidak mempunyai belanja lagi kerana telah dibelanjakan semuanya.

“Sebaliknya kita harus berbelanja secara sederhana atau mengikut kemampuan masing-masing. Yang paling penting, jangan belanja dengan boros,” katanya sempena sambutan Pra Gawai  2017, Peringkat Bahagian Bintulu, malam tadi.

Rundi turut menasihatkan masyarakat Dayak supaya tidak mengabaikan kepentingan pendidikan kepada anak masing-masing kerana ia merupakan pelaburan pada masa hadapan.

“Program pembangunan yang di bawa kerajaan di kawasan luar bandar banyak menyumbang kepada kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan.

“Kesedaran ini sekali gus menyumbang kepada peningkatan kemasukan pelajar ke sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti dengan peningkatan bilangan mahasiswa pelbagai etnik setiap tahun dari luar bandar terutama yang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan,” katanya.

Katanya,program pembangunan luar bandar turut menyumbang kepada kesedaran dalam kalangan ibu bapa tentang pentingnya pendidikan buat anak-anak demi mengubah nasib mereka.

Sebanyak RM80,000 telah berjaya dikutip untuk disalur kepada tabung Pra Gawai hasil sumbangan Datuk Sri Dr. Stephen Rundi berjumlah RM20,000, Dato’ Sri Ting King Sing RM20,000, Datuk Talib Zulpilip RM20,000, Manjang Renggi RM10,000 dan Kennedy Chuk Pai RM10,000. – dayakdaily.com