Jamilah hargai sokongan masyarakat Dayak di Tanjong Datu

Jamilah (tiga kiri) menggulung tikar sebagai simbolik penutupan Gawai daerah Lundu - dayakdaily.com

LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu menghargai sokongan masyarakat Dayak yang telah memberi sokongan penuh kepada beliau sebagai calon Barisan Nasional (BN) Tanjong Datu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lalu.

Katanya, sokongan tidak berbelah-bahagi masyarakat Dayak bersama kaum lain telah memastikan beliau menang dengan cemerlang untuk mempertahankan kerusi itu.

“Saya berterima kasih kepada masyarakat Dayak yang turut memberi kepercayaan dan sokongan untuk meneruskan legasi perjuangan Allahyarham Tan Sri Adenan di sini,” katanya di Majlis Ngiling Tikai Daerah Lundu 2017 di Lundu Town Square.

Katanya, beliau akan meneruskan perjuangan Allahyarham Tok Nan bagi meneruskan agenda pembangunan kepada seluruh rakyat di kawasan itu.

“Kawasan Tanjong Datu meliputi Lundu dan Sematan cukup sesuai untuk dimajukan sebagai destinasi eko pelancongan.

“Kita akan meningkatkan kerjasama dengan pihak Pejabat Daerah, agensi-agensi kerajaan serta masyarakat di Daerah Lundu untuk merealisasikan matlamat ini dapat dicapai,” katanya.

Jamilah berkata, bagi memudahkan kerajaan meneruskan agenda pembangunan rakyat pelbagai kaum di daerah itu mesti terus kekal bersatu.

“Sekiranya kita bersatu dan bekerjasama usaha membawa pembangunan dapat dilakukan dengan mudah,” katanya.

Pada majlis dihadiri lebih 1,000 masyarakat pelbagai kaum itu Jamilah menyempurnakan upacara simbolik ‘Ngiling Tikai’ sebagai tanda penutupan perayaan Gawai Dayak di daerah itu.

Turut diadakan ialah penyampaian ‘ang pau’ Gawai kepada kanak-kanak 12 tahun ke bawah. – dayakdaily.com