Jambatan Batang Lupar bakal lonjak ekonomi penduduk

Fadillah (kiri) mendengar soalan yang diutarakan penduduk berhubung pembinaan jambatan Batang Lupar - dayakdaily.com

SEBUYAU: Jambatan Batang Lupar yang akan dilaksanakan bermula tahun hadapan bakal melonjak ekonomi penduduk di kawasan pesisir negeri ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusuf berkata, jambatan sepanjang lima kilometer itu bakal menjadi jambatan yang terpanjang di negeri ini dengan kos pembinaan sebanyak RM 1 bilion.

“Jambatan Batang Lupar ini akan menjadi nadi ekonomi kepada penduduk di kawasan Batang Lupar serta memendekkan perjalanan untuk ke bandaraya Kuching,” katanya selepas Majlis Dialog Pemimpin Bersama Masyarakat Setempat di sini, semalam.

Katanya, projek pembinaan jambatan Batang Lupar ini telah dijanjikan pelaksanaannya semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ke jambatan Batang Sadong pada tahun lalu.

“Projek ini telah dipersetujui untuk dibiayai secara bersama iaitu 50 peratus kerajaan persekutuan dan 50 peratus kerajaan negeri,” katanya.

Menjelas lanjut, Fadillah berkata,bagi memastikan projek pembinaan jambatan itu dapat berjalan lancar pasukan khas akan dibentuk .

“Mereka akan membuat kajian yang menyeluruh agar perlaksanaan jambatan sepanjang lima kilometer dan merupakan jambatan terpanjang di Sarawak ini tidak berhadapan sebarang masalah.

“Pasukan khas ini melibatkan pihak perunding, syarikat kejuruteraan tanah, audit keselamatan jalan raya dan badan pemeriksa tapak,” katanya

Katanya, cabaran geografi yang dihadapi dalam perlaksanaan jambatan berkenaan menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan secara tergesa-gesa.

“Cabaran ini tidak pernah menjadi kekangan kepada kerajaan untuk menyediakan sistem perhubungan yang baik kepada rakyat di kawasan luar bandar,” katanya.

Katanya, pembinaan jambatan yang akan mula ditender pada Jun tahun hadapan itu membuktikan keprihatinan kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri. – dayakdaily.com