Jadikan anak gadis ‘hamba seks’, empat sekeluarga direman tujuh hari

Keempat-empat suspek, terdiri daripada seorang datuk, bapa kandung dan dua bapa saudara kepada gadis berusia 19 tahun itu, berpakaian lokap polis serta diiringi anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Samarahan di sini kira-kira pukul 1 petang. - dayakdaily.com

SAMARAHAN – Perbuatan keji empat sekeluarga yang disyaki merogol seorang gadis iaitu anak kepada seorang suspek di Kampung Daha Seroban, Serian sejak enam tahun lalu terbalas apabila kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Suspek tersebut terdiri daripada seorang datuk, bapa kandung dan dua bapa saudara kepada gadis berusia 19 tahun itu.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret Samarahan, Dayang Roselind Awang Mahdini.

Permohonan reman yang diluluskan sehingga 18 Ogos depan adalah untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram.

Jika sabit kesalahan, kesemua suspek boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

Keempat-empat suspek yang berpakaian lokap polis serta diiringi anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Samarahan di sini kira-kira pukul 1 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, kesemua suspek berusia antara 26 hingga 57 tahun tersebut telah ditahan di sebuah rumah di Kampung Daha Seroban pada pukul 3.30 petang semalam.

Katanya, tangkapan itu dilakukan susulan laporan polis yang diterima daripada pihak hospital selepas gadis berkenaan disahkan hamil selama 25 minggu oleh doktor di Hospital Serian.

“Perbuatan durjana kesemua lelaki itu akhirnya terbongkar selepas gadis tersebut mendakwa telah dijadikan tempat mereka melepaskan nafsu sejak dia berusia 13 tahun lagi.

“Gadis sama turut mendakwa adiknya yang kini berusia 14 tahun juga telah menjadi mangsa nafsu ‘buas’ keempat-empat suspek,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Dev menambah, siasatan juga mendapati kesemua suspek merupakan petani, malah menetap di sebuah rumah yang sama di kampung berkenaan.

“Gadis berkenaan kini masih menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Umum Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kebajikan,Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Fatimah Abdullah menyifatkan perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana mangsa rogol masih bawah umur.

Tegas beliau, keempat suspek yang merupakan ahli keluarga kepada mangsa sepatutnya bertanggungjawab untuk melindungi keselamatan bukannya mengambil kesempatan ke atasnya.

“Kita berharap pihak polis akan mengambil tindakan yang sewajarnya agar kesemua pelaku dibawa kemuka pengadilan, didakwa dan dihukum setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan.

“Susulan itu, kita juga akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menempatkan mangsa di tempat perlindungan di bawah kementerian ini,” katanya. – dayakdaily.com