Isu lulus BM peringkat SPM untuk UD41 tidak harus dipolemikkan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam lawatan nya ke Kuching. - dayakdaily.com

KUCHING – Isu kontroversi melibatkan keputusan melonggarkan syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diberikan kepada graduan perubatan yang berkelayakan untuk dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perubatan UD41 tidak harus dipolemikkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S.Subramaniam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,

Datuk Joseph Entulu Belaun yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan diminta memberikan penjelasan terperinci berhubung perkara itu pada Mesyuarat Kabinet Persekutuan, Rabu ini.

Menurutnya, kedua-dua menteri berkenaan akan melakukan pencerahan terhadap isu yang menjadi polemik di peringkat akar umbi terutama dalam kalangan pejuang bahasa kebangsaan.

“Bagi saya, isu ini perlu ditangani dengan fikiran terbuka dan saya harus mendengar penjelasan dari kedua-dua menteri supaya perkara ini tidak lagi dikontroversikan.

“Apa yang penting tidak ada isu-isu kontroversi yang menjadi polemik dan dimanipulasikan oleh pihak berkepentingan terutama menjelang pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam sidang akhbar semasa mengunjungi Rumah Terbuka Gawai Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, keputusan melonggarkan melonggarkan syarat kelayakan lulus BM peringkat Sijil SPM untuk para graduan perubatan itu dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JPA tanpa perbincangan di Kabinet.

Jelas beliau, telah menjadi prosedur operasi standard (SOP) kerajaan bahawa kelulusan BM kepujian atau kredit adalah menjadi syarat wajib untuk mana-mana pegawai yang mahu bekerja dengan kerajaan.

“Tetapi di dalam hal ini, mereka bukan bekerja secara tetap tetapi kontrak maka mungkin kelonggaran diberikan dalam perkara ini.

“Saya memandang bahawa keputusan dibuat oleh JPA dan KKM melihat dari segi aspek bukan sebagai penjawat awam tetap tetapi pekerja kontrak,” ujarnya lagi.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dipetik sebagai berkata kelonggaran itu bagi membolehkan graduan berkenaan menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib selama dua tahun.

Tambahnya, JPA pada 23 Februari lalu memberi persetujuan untuk kelonggaran syarat kelayakan itu bagi pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 di Kementerian Kesihatan. – dayakdaily.com