IPD Kuching tangkap lelaki bersama dadah disyaki ‘tokan dadah’

Kenderaan yang digunakan seorang daripada suspek semasa ditahan.

KUCHING: Dua lelaki ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah dalam dua serbuan berasingan di sini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ashmon Bajah berkata, serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 9 Oktober dan 10 Oktober lalu.
Katanya, serbuan pertama kira-kira jam 5 petang (9 Okt), di mana seorang suspek, 51 tahun telah ditahan di Jalan Green.
Pemeriksaan telah dilakukan ke atas kenderaan jenis pacuan empat roda (4wd) yang dipandu suspek dan telah menemui sembilan paket plastik lutsinar dipercayai berisi dadah jenis syabu.
Anggaran berat kasar dadah yang dirampas seberat 71.96 gram bernilai RM7,196.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek didapati negatif dadah dan suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya, hari ini.
Suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, pasukan serbuan telah menahan seorang lagi suspek berusia 33 tahun sekitar  jam 11 pagi (10 Okt) di tepi Jalan Cahaya Mata, Bandar Baru Semariang.
“Pemeriksaan yang dijalankan terhadap suspek menjumpai empat paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal jernih disyaki dadah disyaki syabu berat kasar 5.68 gram bernilai RM568 di dalam poket seluar yang dipakai oleh suspek,” katanya.
Suspek kemudian  ditahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif ujian awal saringan dadah. — DayakDaily.