Industri rumbia Balingian kekal aktif, jana pendapatan bagi penduduk

Deretan potongan rumbia yang dibeli oleh peraih di apongkan di tebing Sungai Balingian

Oleh Pasukan D’Drift

BALINGIAN, 15 OKT: Industri rumbia atau lebih dikenali sebagai mulong yang menghasilkan sago kekal menjana pendapatan kepada penduduk di Balingian.

Sarawak khususnya pekebun kecil rumbia di Mukah merupakan penyumbang utama industri sago dengan lebih 90 peratus daripada jumlah keluasan tanaman rumbia di negeri ini dan Malaysia amnya.


Tinjauan D’Drift  di sekitar Balingian pada semalam mendapati penduduk setempat masih aktif mengusahakan tanaman rumbia selain menjana pendapatan sebagai nelayan sungai dan laut.

Dilihat dari jauh, himpunan potongan rumbia yang diikat diikat di Sungai Balingian bagaikan membentuk sebuah phontoon untuk kemudahan mengikat perahu dan penggunanya.

Namun jika dihampiri, ia adalah himpunan potongan rumbia yang sedia untuk di bawa ke kilang memproses di sekitar Mukah dan Dalat.

Menurut seorang penduduk Balingian Che Ghazali Arbi, pengusaha di Balingian kebiasaannya akan menjual potongan rumbia kepada peraih sebelum ia di bawa ke kilang untuk diproses menjadi sago.

Katanya, dahulu harga satu potongan rumbia boleh mencecah sehingga lebih RM5 tetapi sekarang disebabkan pelbagai faktor ianya berkurangan sehingga RM4 sepotong.

“Industri rumbia ini masih menjadi sebahagian daripada punca pendapatan penduduk di Balingian, ia diusahakan sejak dahulu lagi sehingga sekarang.

“Potongan rumbia ini dijual kepada peraih yang kemudian diikat di Sungai Balingian sebelum diangkut dan dibawa ke kilang pemprosesan,” katanya ketika ditemui.

Menurut Che Ghazali, deretan potongan rumbia yang diikat kemas boleh dilihat di sepanjang Sungai Balingian khususnya berhampiran pasar lama Balingian.

Katanya, potongan rumbia mesti diapungkan di sungai untuk mengekalkan keasliannya selain mengelakan kemerosotan kandungan kanji , biasanya tidak melebihi 2 hari selepas ditebang.

Selain batangnya diproses untuk menghasilkan sago ujar Che Ghazali, pokok rumbia juga boleh dijadikan atap.

“Ia juga menjadi makanan asas kepada kaum Melanau serta turut dinikmati semua lapisan penduduk Sarawak,” katanya lagi.

Che Ghazali Arbi

Rumbia mempunyai banyak kegunaan iaitu tepung sagu rumbia boleh digunakan untuk memproses serbuk perasa, sirap glukosa, makanan bayi, gula-gula, tekstil, kertas, pelekat gam, bahan pembeku, plastik dan lain-lain.

Sementara itu, batang rumbia juga menghasil satu makanan eksotik yang dikenali sebagai si’et dalam bahasa Melanau atau tinduh dalam bahasa Iban.

Ia sebenarnya adalah larva kumbang yang bersarang di dalam batang rumbia yang telah ditebang dan dibiarkan mereput selama enam minggu.

Kegilaan terhadap ulat mulong menjadikannnya makanan yang mempunyai nilai komersial sekaligus menjadi sumber pendapatan lumayan kepada pembekal dan penjualnya.

Demi menyokong perkembangan industri rumbia, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada tahun lepas bersetuju untuk menubuhkan Lembaga Pembangunan Industri Rumbia Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika itu telah mengumumkan dana permulaan sebanyak RM5 juta untuk lembaga tersebut.

Menurut Abang Johari, Sarawak merupakan pengeksport terbesar hasil rumbia dan potensi besarnya masih perlu diterokai.

Dalam pada itu, Daerah Dalat merupakan pengeluar tepung sagu terbesar di Sarawak dan Malaysia.

Dilaporkan, enam buah kilang sagu di Daerah Dalat menggunakan lebih 230,000 potong rumbia (potongan pendek) yang dibeli daripada pekebun-pekebun kecil setiap bulan. — DayakDaily

Kelihatan potongan rumbia dipindahkan ke atas lori untuk di bawa ke kilang pemprosesan