Imigresen Sarawak tahan 28 PATI dan empat majikan dalam Ops Ikrar

Seramai 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta empat majikan diberkas menerusi empat serbuan berasingan yang dijalankan di sekitar pusat bandar raya ini dan daerah Bau. - dayakdaily.com

KUCHING – Seramai 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta empat majikan diberkas menerusi empat serbuan berasingan yang dijalankan di sekitar pusat bandar raya ini dan daerah Bau.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam satu kenyataan berkata, serbuan pertama menerusi Ops Ikrar (Sapu) itu dilakukan oleh 40 anggota diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Hairol Asuad di sebuah rumah kongsi di Tondong Baru, Bau.

Kata kenyataan itu, dalam serbuan tersebut seramai 54 orang terdiri daripada 34 lelaki warga Indonesia dan 20 Bangladesh telah diperiksa.

“Hasil pemeriksaan, dua lelaki warga Indonesia ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh sah di negara ini,” kata JIM Sarawak dalam satu kenyataan akhbar.

JIM Sarawak menambah, kumpulan anggota sama turut menyerbu sebuah lagi rumah kongsi di Blok 10, KCLD, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini.

Jelas kenyataan itu, seramai 125 pekerja diperiksa iaitu lima lelaki tempatan, 88 lelaki dan empat wanita Indonesia, lima India, empat Myanmar serta seorang Bangladesh.

“Pemeriksaan mendapati, seramai 18 pekerja asing merupakan PATI kerana tidak memiliki dokumen dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

“Turut ditahan adalah empat wakil majikan yang telah dikeluarkan saman saksi bagi membantu siasatan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu, Ops Ikrar (Sapu) yang dilakukan di rumah kongsi di Jalan Tun Abang Haji Openg dan Lebuh Cenrtal 21B di sini telah memeriksa 102 pekerja.

“Daripada kesemua 102 pekerja itu, lapan PATI dari Indonesia telah ditahan.

“Kesemua PATI yang ditahan telah dihantar ke Depo Tahanan Imigresen Semuja di Serian untuk siasatan lanjut,” kata JIM Sarawak. – dayakdaily.com