Hutang nyawa dibayar nyawa

Balu mendiang Deputi Superintendan Michael Padel, Jabah Mingku, berpuas hati dengan keputusan mMahkamah Rayuan di Putrajaya menjatuhkan hukuman mati ke atas para pengganas warga Filipina itu. - dayakdaily.com

KUCHING – “Keputusan hukuman mati inilah yang paling ditunggu-tunggukan oleh saya.

“Sekarang, kami sekeluarga amat berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang menukar hukuman penjara sepanjang hayat kepada hukuman mati terhadap sembilan pengganas Sulu tersebut”.

Demikian reaksi balu kepada mendiang Deputi Superintendan Michael Padel, Jabah Mingku, 38, selepas Mahkamah Rayuan di Putrajaya menjatuhkan hukuman mati ke atas para pengganas warga Filipina itu.

“Akhirnya kematian suami saya terbela dan hukuman mati yang dijatuhkan oleh mahkamah sememangnya tepat dikenakan ke atas para pengganas berkenaan.

“Hutang nyawa dibayar nyawa. Saya kini amat berpuas hati. Pada masa saya mengharapkan agar perkara seumpamanya tidak berulang kembali ke atas tanahair kita,” katanya ketika ditemui di Taman Palm Villa, Kota Samarahan semalam.

Dalam nada yang agak sedih, ibu kepada seorang anak itu berkata, dia masih merasai kehilangan suami tersayang meskipun sudah empat tahun mendiang pergi buat selama-lamanya.

“Sehingga hari ini, saya masih bersedih malah terpaksa menjalani terapi psikologi kerana masih terkesan dengan kehilangan suami saya,” ujarnya ringkas.

Semalam, Mahkamah Rayuan di Putrajaya telah menukar hukuman penjara sepanjang hayat kepada hukuman mati terhadap sembilan pengganas Sulu kerana terlibat dalam pencerobohan di Lahad Datu, Sabah empat tahun lalu dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Keputusan sebulat suara tersebut dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd. Zawawi Salleh yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim.

Hakim Mohd. Zawawi berkata, mereka yang terlibat dengan jenayah tersebut telah diberikan peluang untuk meninggalkan Sabah, namun memilih untuk melakukan jenayah yang menumpahkan darah.

“Rundingan sudah dilakukan namun mereka memilih untuk melakukan keganasan dan panel berpuas hati hukuman yang wajar dijatuhkan adalah hukuman mati,” katanya ketika membacakan keputusan penghakiman bagi kes tersebut.

Mereka yang dijatuhi hukuman mati itu ialah anak saudara lelaki yang mendakwa dirinya Sultan Jamalul Kiram III, Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 54, yang juga merupakan Ketua Pasukan Tentera Diraja Sulu (RSF).

Selain itu, Julham Rashid, 70; Virgilio Nemar Patulada, 53; Salib Akhmad Emali, 64; Tani Lahad Dahi, 64; Basad H. Manuel, 42; Ismail Yasin, 77; Atik Hussin Abu Bakar, 46, dan Al Wazir Osman, 62, turut dikenakan hukuman mati.

Mereka merupakan antara yang dituduh terlibat dalam pencerobohan Sabah pada 11 Februari, 2013.

Pencerobohan itu melibatkan kira-kira 200 anggota militan atas arahan Jamalul Kiram III, salah satu pihak yang menuntut takhta Kesultanan Sulu dan mendakwa Sabah merupakan wilayah jajahannya.

Insiden itu berakhir dengan kematian 56 militan. Turut terkorban ialah 10 anggota keselamatan Malaysia dan 6 orang awam. – dayakdaily.com