Hotel tiga bintang ke bawah dikecualikan cukai pelancongan

Hasil daripada cukai pelancongan itu akan disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri dan bukannya kementerian tersebut. - dayakdaily.com

KUCHING – Para pelancong domestik yang menginap di hotel bertaraf tiga bintang dan ke bawah di Sarawak akan dikecualikan daripada membayar cukai pelancongan.

Perkara tersebut telah diputuskan oleh Mesyuarat Kabinet Negeri Sarawak yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pengecualian cukai pelancongan yang terhad kepada hotel tiga bintang dan ke bawah itu hanya untuk pelancong domestik sahaja.

Menurut beliau, Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah melakukan perbincangan mengenai perkara tersebut pada pertemuan mereka di Putrajaya pada minggu lalu.

“Kerajaan negeri bersetuju dengan pelaksanaan cukai pelancongan itu selepas melakukan sedikit penyesuaian terhadap pelaksanaan cukai tersebut.

“Antara penyesuaian itu ialah rakyat tempatan dikecualikan daripada membayar cukai ini di hotel-hotel bertaraf tiga bintang ke bawah.

“Bagaimanapun, pengecualian cukai berkenaan tidak akan terpakai ke atas para pelancong asing,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Karim memberitahu, Perdana Menteri juga telah bersetuju agar kutipan cukai pelancongan itu kelak dibahagi rata kepada tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, rakyat tempatan masih perlu membayar cukai pelancongan sekiranya menginap di hotel-hotel bertaraf empat dan lima bintang.

Jelas beliau, hasil daripada cukai itu kelak akan disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri untuk promosi pelancongan.

“Kita yakin selepas melakukan penyesuaian terhadap cukai pelancongan ini, ia tidak akan terlalu membebankan rakyat yang gemar melancong di dalam negara.

“Namun, pelaksanaan cukai pelancongan itu akan dilewatkan sedikit kerana cadangan pelaksanaan 1 Julai tinggal beberapa hari sahaja lagi.

“Ini kerana, kebanyakan pengusaha hotel di negeri ini masih belum menerima notis mengenai pelaksnaaan cukai pelancongan itu,” ujarnya lagi.

Sebelum ini dayakdaily.com turut melaporkan mengenai krisis atau pertelingkahan pendirian di antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz dan Abdul Karim berhubung isu perlaksanaan cukai pelancongan itu.

Pertelingkahan antara kedua-dua pemimpin itu semakin panas apabila Nazri melabelkan Abul Karim sebagai ‘setahun jagung’, masih ‘budak’ dan ‘samseng’.

Insiden berkenaan telah menyebabkan rakyat Sarawak bersolidariti mengecam Nazri selepas beliau melabel Abdul Karim seumpamanya.

Cukai pelancongan yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai ini dilaksanakan selepas Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan diluluskan di Parlimen pada sidang yang lalu.

Kerajaan boleh mengutip sehingga RM654 juta jika kadar penginapan adalah pada 60 peratus.

Sebelum ini, menurut Kastam Diraja Malaysia, kadar cukai adalah berdasarkan kepada penarafan penginapan.

Kadar cukai itu adalah seperti berikut:

1. Lima bintang: RM20 bagi setiap malam
2. Empat bintang: RM10 bagi setiap malam
3. Satu hingga tiga bintang: RM5 bagi setiap malam
4. Satu hingga tiga orkid: RM2.50 bagi setiap malam
5. Tidak dinilai: RM2.50 bagi setiap malam – dayakdaily.com