Hina nama mendiang bapa Watson, Ammar dan penerbit Sukan Tak Sentral didakwa hari ini

Bekas pengacara rancangan Sukan Tak Sentral, terbitan TV3, Azizul Ammar Abu Hassan, 30, dengan penerbit rancangan, Abdul Ghani Mohd. Mokhtar, 41 didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini. Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. - dayakdaily.com

SIBU – Tindakan bekas pengacara rancangan Sukan Tak Sentral, terbitan TV3, Azizul Ammar Abu Hassan yang menghina nama mendiang bapa jaguh pecut kebangsaan, Watson Nyambek akhirnya terbalas apabila dia
didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Selain Azizul Ammar, 30, penerbit rancangan tersebut, Abdul Ghani Mohd. Mokhtar, 41, turut didakwa atas pertuduhan sama di mahkamah berkenaan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh tidak mengaku bersalah.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan secara sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan apabila menghina nama mendiang bapa Watson.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Majistret Saiful Sayoti kemudian melepaskan kedua-dua tertuduh dengan jaminan RM3,500 beserta seorang penjamin.

Saiful turut memerintahkan kedua-dua tertuduh hadir ke mahkamah bagi sebutan semula kes pada 4 Julai depan.

Mengikut kertas pertuduhan, Azizul Ammar didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 Mei lalu pada pukul jam 11.30 malam di Hotel Medan apabila menyebut nama ‘Nyambek’ iaitu nama mendiang bapa Watson dalam keadaan menghina.

Perbuatan tersebut dilakukannya ketika menjadi dia bertugas sebagai pengacara program Sukan Tak Sentral yang disiarkan TV3.

Susulan kejadian itu, Watson membuat laporan polis terhadap Azizul Ammar dan penerbit rancangan itu pada 24 April lalu untuk tindakan lanjut.

Watson juga tetap mahu meneruskan tindakan undang-undang kepada Azizul Ammar dan penerbit rancangan itu meskipun beliau sudah menerima permohonan maaf yang dibuat pihak berkenaan.

Rancangan berkenaan juga ditamatkan siarannya serta-merta susulan tindakan program komedi berasaskan sukan itu yang memperlekeh dan menghina nama mendiang bapa Watson.

Tugas pengacaranya, Azizul Ammar dan enam kru program tersebut turut digantung. – dayakdaily.com