Heret ‘ si batu api’ PapaGomo ke muka pengadilan, muat naik status perkauman

KUCHING -Tindakan blogger kontroversi PapaGomo atau Wan Muhammad Azri Wan Deris memuat naik status perkauman melibatkan rakyat di Sarawak dalam Facebook (FB) baru-baru ini telah mendapat kecaman daripada pelbagai pihak.

Tidak cukup dengan itu, tindakan penulis blog berusia 33 tahun itu mencetuskan polemik berhubung kontroversi cukai pelancongan juga amat merbahaya kerana ia mampu ‘merobohkan’ hubungan erat yang terjalin antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri ini.

Berikut merupakan status PapaGomo dalam FB Muhammad Azri pada 12 Jun lalu: “Janganlah nak sombong sangat Melayu + Melanau Sarawak cuma ada 28 peratus . Dayak dan Cina 78 peratus tapi Melayu Melanau memerintah kerana kekuatan Melayu di Semenanjung.

“Kalau tak faham bahasa juga tak tahulah pemimpin Sarawak ni. Jangan nak tunjuk samseng sangat!”

Susulan tidak berpuas hati dengan status PapaGomo, beberapa laporan polis sudah dibuat bagi tindakan selanjutnya.

Laporan polis dilakukan kerana status yang berbaur hasutan itu boleh ‘menghiris’ perasaan dan emosi rakyat di Sarawak sekali gus memecah belah rakyat Malaysia dan pemimpin negeri.

Setakat ini, terdapat beberapa laporan polis iaitu di Kuching, Kota Samarahan, Sibu dan Bintulu telah dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan tindakan selanjutnya.

Laporan polis telah dibuat oleh Persatuan Warisan Anak Sarawak (WARIS), Pemuda PBB Sibu dan Persatuan Melayu Sarawak, Cawangan Bintulu serta Persatuan Anak Vaie Bintulu.

Jurucakap persatuan tersebut, Ismawi Ishak menegaskan, laporan polis dilakukan bagi mengutuk tindakan PapaGomo kerana sengaja mengeluarkan kenyataan bersifat prejudis sekali gus menyakitkan hati rakyat pelbagai kaum di Sarawak.

Sehubungan itu, pihak berkaitan perlu memandang serius perkara ini kerana dia (PapaGomo) seoalah-olah menjadi ‘batu api’ dan cuba mengambil kesempatan atas tujuan tertentu di sebalik pertikaian yang berlaku antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Tindakan PapaGomo itu dilihat bukan hanya menjejaskan keakraban hubungan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, malah dikhuatiri melaga-lagakan penduduk di Semenanjung serta Sarawak.

Sementara itu, Exco Pertubuhan Belia Kebangsaan Sarawak (Saberkas), Abang Abdul Aziz Abang Draup, berkata, PapaGomo tidak wajar campur tangan tentang hal ehwal dalam kerajaan melalui polemik disiarkannya dalam laman sosial.

“Dalam tulisan dan rakaman videonya yang disiarkan di media sosial, dia banyak memesongkan fakta, terutama mengenai sejarah, politik, hak dan keistimewaan Sarawak, termasuk hak ehwal dalaman negeri ini.

“Siapa PapaGomo?..Apa kelayakannya untuk mencampuri urusan negara serta negeri sehingga mengeluarkan banyak fakta terpesong dan mengelirukan banyak pihak”.

PapaGomo merupakan antara individu yang diletakkan dalam senarai ‘Larangan Masuk’ ke Sarawak tahun lalu kerana menghasilkan penulisan berbau hasutan dan dikhuatiri boleh menjejaskan perpaduan serta keharmonian di Sarawak.-dayakdaily.com