Guru liwat pelajar didakwa, namun tiada pengakuan direkodkan

MUKAH – Seorang guru didakwa di Pejabat Daerah Mukah di sini semalam atas tuduhan meliwat seorang pelajar lelaki sejak Ogos 2015 hingga Mei tahun ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Bobby Seli, 42, selepas pertuduhan dibaca di hadapan Pegawai Daerah Mukah, Shatrie Saili.

Kes pendakwaan itu akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Mukah di hadapan Hakim pada 25 Julai depan.

Untuk rekod, Mahkamah Sesyen Mukah hanya sebulan sekali bersidang.

Tertuduh juga dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin yang bergaji tetap RM2,000 sebulan.

Shatrie turut mengarahkan tertuduh melapor diri dua minggu sekali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit, berdekatan tempat dia bertugas sebelum ini.

Antara lain, tertuduh juga tidak dibenarkan berjumpa atau menghubungi mangsa dan jika dia melanggar syarat itu, maka jaminan akan terbatal.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh dikatakan telah meliwat seorang pelajar lelaki sejak Ogos 2015 hingga Mei tahun ini.

Namun, perbuatan terkutuk tertuduh itu akhirnya terbongkar selepas remaja lelaki terbabit tampil membuat laporan polis di Mukah selepas tidak tahan menjadi hamba seks songsang guru tersebut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 377 C kerana melakukan seks luar tabii yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Sebelum ini, dayakdaily.com melaporkan perbuatan terkutuk seorang guru lelaki yang dipercayai meliwat seorang pelajar sejak Ogos 2015 hingga Mei lalu akhirnya terbongkar selepas remaja lelaki terbabit tampil membuat laporan polis.

Pelajar yang kini berusia 14 tahun itu dipercayai telah dijadikan hamba melepaskan nafsu songsang guru berusia 42 tahun ketika dia masih belajar di sekolah rendah lagi.

Guru yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Kapit disyaki memperlakukan mangsa sedemikian tidak kurang daripada 50 kali di beberapa lokasi berasingan.

Disebabkan takut kepada suspek, remaja lelaki terbabit tidak berani mengadu perkara tersebut kepada orang lain sehingga dia sering dibelenggu kemurungan.

Bagaimanapun, akhirnya dia nekad membongkar tembelang suspek yang kali terakhir meliwatnya pada Mei lalu di sebuah hotel bajet di sini kepada guru di sekolah menengah tempat dia belajar sekarang.

Mangsa yang diiringi guru terbabit kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk tindakan selanjutnya.-dayakdaily.com