Guru Dan Dua Anaknya Khayal Ketika Ditahan

Teacher And Sons High on Syabu

LAWAS : Seorang guru dan dua anaknya yang khayal menghisap dadah jenis syabu tergamam selepas polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Sundar di sini malam tadi.

Ketiga-tiga anak beranak itu ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Lawas pada pukul 7.40 semalam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, guru berusia 50 tahun itu ditahan bersama dua anaknya yang masing-masing berusia 20 dan 22 tahun.

Menurutnya, semasa ditahan, ketiga-tiga anak beranak terbabit dipercayai dalam keadaan khayal disyaki selepas menghisap dadah jenis syabu.

“Ujian kencing yang dilakukan turut mendapati mereka positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Zainal memberitahu, siasatan lanjut mendapati guru terbabit turut memiliki rekod jenayah lampau dan pernah ditangkap atas kesalahan sama pada tahun lalu.
Manakala katanya, kedua-dua anak lelakinya pula tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – dayakdaily.com