Geng aktif pecah rumah sepanjang tempoh pkp tumpas, tujuh individu termasuk sepasang suami isteri kini ditahan polis

Antara peralatan pecah rumah yang dirampas daripada suspek semasa serbuan semalam.

MIRI, 23 Okt : Kumpulan penjenayah yang bergiat aktif melakukan kegiatan pecah rumah di daerah ini sejak peringah kawalan pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasa susulan ancaman Covid-19, tumpas setelah tujuh individu termasuk dua wanita diberkas polis dalam beberapa serbuan.
Tangkapan dilakukan di Miri dan daerah Bintulu.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, tangkapan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah(JSJ) IPD Miri dan dibantu JSJ Bintulu.
Tiga buah kereta dan beberapa barangan termasuk bag dan jam berjenama turut ditemui dalam dua serbuan yang dilakukan semalam (22 Oktober) di sekitar Miri dan sebuah penginapan inap desa (homestay) di daerah Bintulu.
Kesemua suspek berusia dari 16 sehingga 52 tahun telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.
Dua daripada tujuh suspek yang ditahan merupakan pasangan suami isteri.
Hakemal menambah, tangkapan dilakukan susulan beberapa laporan polis daripada mangsa , termasuk yang terkini melibatkan sebuah kediaman di Jalan Riam, King Park di Miri pada 17 Oktober.
Dalam kejadian sejumlah barangan kemas beserta wang melibatkan anggaran kerugian hampir setengah juta dilaporkan hilang dilarikan setelah memecah masuk kediaman tersebut yang ditinggalkan tiada berpenghuni.
Difahamkan, pemilik rumah terbabit berada di luar Miri kerana bekerja, sementara isteri dan anaknya di Johor Bahru.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — DayakDaily.
Penahanan suspek membawa penemuan kepada beberapa barangan dipercayai dicuri.