‘Gawea Sowa’ diraikan sebulan di daerah Bau

Dayung borih sedang melakukan upacara ritual sempena sambutan Gawai di Kampung Opar, Bau baru-baru ini - dayakdaily.com

BAU – Tara tara tara ooo..tara tara tara ooo…tara tara tara ooo.

Demikianlah antara sebutan yang popular dalam kalangan kaum Bidayuh setiap kali sambutan Hari Gawai atau “Ondu Gawea” pada 1 Jun setiap tahun.

Asalnya Hari Gawai adalah perayaan yang lebih berbentuk keagamaan bagi kaum Dayak yang merangkumi masyarakat Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Sambutan secara besar-besaran itu adalah sebagai tanda berterima kasih kepada ‘Petara’ (Tuhan) setiap kali selepas musim menuai padi berakhir dan sebelum memulakan penanaman padi untuk musim seterusnya.

Selain itu, perayaan Hari Gawai turut menuntut masyarakatnya menghargai budaya dan memastikan ‘semangat’ padi sentiasa dijaga dan terus dihormati selama-lamanya.

Hakikatnya, sambutan Hari Gawai sebenarnya tidak terhad pada 1 Jun semata-mata, malah
disambut dalam pelbagai cara serta berbeza-beza mengikut suku kaum serta etnik mengikut bahagian dan daerah tempat masing-masing.

Bahkan perayaan Gawai Dayak sendiri disambut bukan sahaja pada 1 Jun tetapi bermula lebih awal pada awal bulan Mei dan berakhir sehingga akhir bulan Jun.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan sebulan sebelum gawai, ada sudah persediaan dilakukan iaitu dengan menyediakan air tapai dikenali sebagai ‘tuak’ terutamanya oleh penggemar minuman tradisional itu.

Terdapat juga persiaapan awal dengan penyediaan kuih tradisional seperti kuih penyaram, kuih sepit, kuih jala, kuih cap dan penganan.

Kesemua kuih tradisional itu diperbuat daripada tepung beras dan santan kelapa.

Dari segi makanan pula, ayam pansuh yang dimasak dalam buluh dan lemang pulut sudah pasti menjadi menu utama untuk hidangan kepada tetamu.

Jika dilihat sambutan Hari Gawai dalam komuniti Bidayuh, meskipun terdapat sedikit perbezaan dari segi bahasa pertuturan mengikut daerah, namun masyarakat itu tetap
berkongsi adat resam, tradisi dan sambutan perayaan yang serupa.

Secara umumnya, komuniti Bidayuh terdiri daripada tiga kumpulan besar iaitu Singai-Jagoi (Daerah Bau), Biatah (Daerah Padawan/Siburan) dan Bukar-Sadong (Daerah Serian).

Sebagai anak jati Bidayuh yang berasal daerah Bau, penulis bersyukur kerana masih berpeluang melihat sendiri sambutan “Gawea Sowa Bauh” iaitu gawai tahunan yang masih lagi disambut di situ.

Antara sambutan gawai yang masih diraikan oleh masyrakat Bidayuh Bau ialah seperti Gawea Oran, Gawea Podi/Umoh, Gawea Tubi Bauh dan Gawea Sowa Bau.

Menariknya, Gawea Oran disambut bagi memohon berkat melimpah ruah ke atas hutan dan tanah agar tanaman yang ditanam dapat memberi pulangan hasil yang baik serta banyak.

Terdapat upacara pemujaan bagi mendapat kebenaran roh-roh tertentu supaya tidak memudaratkan kawasan tanah dan altar dibina serta bahan penawaran diletakkan sebagai persembahan di tepi jalan utama kampung.

Gawea Podi pula disambut dengan tujuan memohon berkat ke atas benih padi dan pada masa yang sama memohon berkat ke atas tanah agar subur dan tidak dilanda kerosakan.

Selain itu, Gawea Tubi Bauh pula dirayakan bagi memohon berkat bagi memberi kebenaran kepada penduduk untuk turun menuai padi yang sedang mengguning.

Menurut kepercayaan masyarakat setempat, sekiranya ritual itu tidak dilakukan, maka penduduk akan sakit apabila makan nasi hasil tanaman tersebut.

Terakhir sekali adalah Gawea Sowa, iaitu perayaan yang disambut besar-besaran bagi tanda kesyukuran menandakan tamatnya musim menuai padi dan bermula tahun penanaman padi yang baru.

Pelbagai keramaian dan rumah terbuka akan dilakukan pada sambutan Gawea Sowa itu bagi menyemarakkan musim tamat menuai padi dan persediaan tahun menanam padi baru.

Bagi kampung-kampung yang masih kekal dan mempunyai tradisi adat resam lama, ahli keluarga dan sahabat handai yang sudah beragama pasti akan bertandang ke kampung bagi melihat sendiri bagaimana adat nenek moyang mereka dilakukan dengan penuh ritual dan adat istiadat.

Tuntasnya, penulis merasakan tradisi unik yang masih ada sekarang sewajarnya dirakam serta ditulis untuk tatapan generasi masa depan.

Jadi terpulanglah kepada generasi Y masa kini untuk menyelami, mendalami dan memulihara keunikan warisan kebudayaan tradisional tersebut agar tidak pupus ditelan zaman. – dayakdaily.com