Gaie @ Maing Nyarapong maut dalam perjalanan pulang cuti Gawai Dayak

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, mangsa, [email protected] Nyarapong, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit dan mengalami kecederaan parah pada kepalanya.

TATAU – Perjalanan pulang seorang lelaki untuk bercuti sempena Hari Gawai Dayak pada Khamis ini berakhir dengan tragedi apabila dia maut dalam kemalangan kendiri di Batu 88, Jalan Tatau-Sibu di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, mangsa, [email protected] Nyarapong, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit dan mengalami kecederaan parah pada kepalanya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung nahas tersebut dari Balai Polis Tatau pada pukul 8.17 malam.

Menurutnya, sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu, lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau telah dikerahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Jarak ke tempat kejadian adalah sejauh 62 kilometer (km) dan pasukan bomba hanya tiba di lokasi nahas pada pukul 8.45 malam.

“Sebaik tiba, komander operasi melaporkan terdapat sebuah kereta Perodua Myvi didapati dalam keadaan terhumban di dalam longkang di bahu jalan tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki iaitu pemandu kereta berkenaan masih tersepit dan dalam keadaan berlumuran darah.

“Pasukan bomba yang diketuai PBT Mohamad Jusoh kemudian bertindak mengeluar mangsa dan tiada penumpang lain dalam kenderaan itu.

“Semasa dikeluarkan dari kereta itu, mangsa sudah dalam keadaan tidak bernyawa dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” jelasnya.

Tambahnya, mayat mangsa sudah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut sebelum dituntut oleh keluarganya bagi urusan pengebumian. – dayakdaily.com