FAS lafaz ikrar bebas rasuah

Pegawai dan pemain FAS melafaz ikrar menjauhkan rasuah - dayakdaily.com

KUCHING: Memastikan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak (FAS) bebas daripada belenggu rasuah dan salah guna kuasa persatuan itu melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah(IBR) hari ini.

Pengarah SPRM Negeri Sarawak, Dato’ Badrul Shah Norman berkata,ia merupakan tanda komitmen yang telah dizahirkan dalam usaha menjauhi jenayah rasuah dan salah guna kuasa FAS bagi menjadi sebuah institusi yang bersih dan bebas dari segala amalan rasuah dan salah guna kuasa.

“Kebersamaan FAS dan SPRM untuk mewujudkan sebuah masyarakat untuk memerangi rasuah adalah amat penting kerana dari pemerhatian terdapat ruang dan peluang yang besar dan terdedah dengan risiko berlakunya rasuah jika perkara ini tidak dibendung dari peringkat awal,” katanya di majlis itu yang diadakan di bilik mesyuarat utama, Stadium Negeri Sarawak.

Katanya, menerusi inisiatif Ikrar Bebas Rasuah itu juga adalah diharap SPRM dan FAS akan terus meraih kepercayaan, keyakinan serta sokongan rakyat secara berterusan dan menutup segala tohmahan yang tidak benar dilemparkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Kepada semua pemain bola sepak negeri Sarawak janganlah sesekali melibatkan diri dalam kancah rasuah kerana ia boleh menghancurkan dan menamatkan karier bola sepak serta menanggung keaiban dalam tempoh masa yang sangat panjang,” tegasnya.

Katanya, bakat yang dimiliki merupakan satu anugerah yang tidak ternilai dan tidak wajar digadai kerana tamakkan habuan yang hanya bersifat sementara.

“Bagi menangani senario ini SPRM Sarawak melalui Unit Pendidikan Masyarakat telah secara aktif mengadakan pelbagai program yang menyasarkan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, kaum termasuk badan sukan bagi mewujudkan budaya serta sikap membenci rasuah ke tahap yang paling tinggi.

“Antara aktiviti yang diadakan ialah melalui ceramah anti-rasuah yang dijalankan secara berkala kepada pelbagai jabatan kerajaan.

“Turut diadakan seminar dan juga wawancara radio berikutan jenayah rasuah bagi memastikan mesej ini sampai ke setiap lapisan masyarakat di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Presiden FAS, Dato’ Posa Majais berharap SPRM dan FAS dapat bekerjasama dalam memastikan tidak akan berlaku sebarang bentuk rasuah mengatur perlawanan dan salah guna membabitkan semua pihak dalam persatuan itu.

“Ikrar ini akan menjadi penanda aras kepada FAS melahirkan pemain-pemain bola sepak berprestasi tinggi, berkualiti dan berintegriti,”katanya. – dayakdaily.com