Enam pelajar sekolah menengah ditahan selepas positif dadah

Polis menahan enam pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Tebedu di sini selepas mereka disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di sekolah semalam. - daydakdaily.com

SERIAN – Polis menahan enam pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Tebedu di sini selepas mereka disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di sekolah semalam.

Rahsia penglibatan keenam-enam pelajar berusia antara 14 hingga 17 tahun itu terbongkar selepas seorang guru disiplin di sekolah terbabit curiga dengan aktiviti yang dilakukan mereka.

Menurut sumber, sebaik mengesyaki pelajar-pelajar berkenaan melakukan perbuatan tidak bermoral itu, guru tersebut kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, susulan laporan yang diterima, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serian melakukan serbuan dan menahan enam pelajar berkenaan pada pukul 9.15 pagi.

“Semasa pemeriksaan dilakukan, seorang daripada pelajar terbabit didapati memiliki satu paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 0.66 gram.

“Pada mulanya, keenam-enam pelajar terbabit menafikan terlibat dalam penyalahgunaan dadah sehinggalah ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber menambah, siasatan awal mendapati seorang daripada mereka pelajar tingkatan dua, tiga orang pelajar tingkatan empat, manakala dua lagi merupakan pelajar tingkatan lima.

Kesemua mereka berbangsa Bidayuh.

“Mereka kini ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.