Empat sekeluarga dipenjara 25 hingga 30 tahun dan 24 sebatan, rogol dua beradik enam tahun lalu

KOTA SAMARAHAN – Perbuatan terkutuk empat sekeluarga dari Kampung Daha Seroban, Serian merogol dua gadis darah daging mereka sendiri sejak enam tahun lalu akhirnya terbalas apabila dijatuhi hukuman antara 25 hingga 30 tahun penjara dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas kesemua tertuduh yang berusia antara 26 hingga 57 tahun itu mengaku salah terhadap pertuduhan Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram.

Hakim Marutin Pagan memerintahkan hukuman berkenaan berjalan serentak selepas 13 pertuduhan ke atas semua tertuduh dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azhari Yusof.

Kesemua tertuduh tidak diwakili oleh peguam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh pertama yang merupakan datuk kepada mangsa didakwa melakukan sumbang mahram terhadap cucunya sejak Januari 2013 hingga Julai 2017.

Lelaki berusia 57 tahun tersebut berdepan dengan enam pertuduhan.

Tertuduh kedua yang berusia 42 tahun iaitu bapa kepada dua beradik pula berdepan dua pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak sulungnya itu bermula Januari hingga Disember 2013.

Tertuduh ketiga iaitu bapa saudara kepada mangsa yang 26 tahun pula berdepan satu pertuduhan atas melakukan perbuatan keji itu pada 1 Jun 2011.

Manakala, tertuduh keempat yang juga bapa saudara mangsa berusia 28 tahun berdepan empat pertuduhan atas kesalahan melakukan sumbang mahram terhadap dua beradik tersebut sejak Jun 2011 hingga Disember 2012.

Dayakdaily.com sebelum ini melaporkan kes berkenaan terbongkar apabila mangsa yang berusia 19 tahun menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Serian sebelum disahkan mengandung selama 25 minggu pada 11 Ogos lalu.

Gadis malang itu kemudian mendedahkan dia telah menjadi mangsa nafsu serakah datuk,bapa dan dua bapa saudaranya sejak berusia 13 tahun lagi.

Tidak cukup dengan itu, mangsa juga mendedahkan adik bongsunya yang kini berusia 14 tahun turut menjadi mangsa pelepas nafsu empat beranak terbabit.

Ketika ini, dua beradik berkenaan telah ditempatkan di rumah perlindungan selepas mendapat perintah mahkamah.

Seorang mangsa yang berusia 14 tahun telah ditempatkan di Rumah Kanak-kanak di bawah selian Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Bagaimanapun, kakak mangsa yang berusia 19 tahun dan dalam keadaan mengandung selama diletakkan di bawah perlindungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Serian. – dayakdaily.com