Empat lelaki tak sempat joli hasil rompak selepas ditahan polis

Keempat-empat lelaki Iban berusia antara 22 hingga 27 tahun itu diberkas di sebuah Flat Sungai Plan di Jalan Tanjung Kidurong di sini pada pukul 10.30 malam. - PDRM

BINTULU – Tak sempat joli hasil rompak.

Itulah yang dapat dirumuskan terhadap empat lelaki tempatan selepas ditangkap polis apabila disyaki terlibat dalam jenayah pecah rumah di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt Zailani Amit berkata, keempat-empat lelaki Iban berusia antara 22 hingga 27 tahun itu diberkas di sebuah Flat Sungai Plan di Jalan Tanjung Kidurong di sini pada pukul 10.30 malam.

Menurutnya, pemeriksaan polis di flat tersebut kemudian menemui beberapa barang curi iaitu satu unit TV Panasonic 32 inci dan satu unit telefon bimbit jenama Asus.

“Serbuan menerusi Ops Pintu dilakukan hasil risikan polis dan diketuai Inspektor Nicon dan
Inspektor Wee Soon Guan.

“Semasa ditahan, kesemua suspek tergamam.apabila sepasukan anggota polis menyerbu masuk ke dalam flat tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Zailani memberitahu, keempat-empat suspek sudah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing akan dilakukan terhadap mereka.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda,” ujarnya lagi. – dayakdaily.com