Dua wanita menemui ajal, motosikal bertembung dengan kereta

Mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Audrey Kymberlee Patrick, 28, berasal dari Kampung Sungai Duuh, manakala identiti seorang lagi mangsa belum diketahui. - PDRM

KUCHING – Perjalanan dua wanita turun kerja menaiki sebuah motosikal berakhir dengan tragedi apabila mereka maut selepas terlibat dalam kemalangan di Batu 11, Jalan Kuching-Serian di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi itu berlaku selepas motosikal jenis Honda Wave yang dinaiki mangsa berlanggar dengan sebuah kereta Toyota Vios.

Mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Audrey Kymberlee Patrick, 28, berasal dari Kampung Sungai Duuh, manakala identiti seorang lagi mangsa belum diketahui.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, DSP Bingkok John berkata, sebelum kejadian, motosikal yang ditunggang oleh Audrey dan rakannya dikatakan sedang dalam perjalanan ke Kuching dari arah Serian.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi nahas, motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa tiba-tiba berlanggar dengan Toyota Vios yang dipandu seorang wanita berusia 27 tahun.

“Impak pelanggaran itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak beberapa meter ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah pada anggota badan mereka.

“Pemandu kereta tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan, namun bahagian depan kenderaan itu remuk teruk,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, polis sudah merakam keterangan daripada pemandu kereta terbabit untuk tindakan lanjut.

Katanya, mayat kedua-dua wanita tersebut sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak di sini untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – dayakdaily.com