Dua sampel anjing di Sarawak disahkan positif rabies

Anggota JPVS menyuntik vaksin anti-rabies baru-baru ini - dayakdaily.com

KUCHING – Dua lagi sampel anjing yang dihantar untuk menjalani ujian penyakit rabies di Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Ipoh didapati positif virus penyakit berkenaan.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, dua sampel anjing yang didapati positif itu ialah dari Kampung Triboh dan Kampung Spaoh Hulu, Serian.

Menurut JPBNS, Kampung Triboh itu terletak di dalam radius 10 kilometer (km) survelan dari Kampung Rasau diisytiharkan kawasan wabak pada 18 Julai lalu.

“Manakala, Kampung Spaoh Hulu pula terletak di dalam 10km
radius dari kawasan survelan dari Kampung Kuala, Gedong yang telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak pada 9 Ogos lalu,” kata JPBNS dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Sementara itu, JPBNS memberitahu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) memberitahu, dua sampel berkenaan antara 11 sampel yang dihantar pihaknya ke VRI, Ipoh pada 15 Ogos (lapan sampel) dan 23 Ogos (tiga sampel).

Kata JPBNS, secara kumulatif sebanyak 35,122 ekor haiwan kesayangan yang terdiri dari 27,255 ekor anjing, 7,822 ekor kucing dan 45 haiwan lain telah divaksin di negeri ini setakat ini.

“Antara itu, sebanyak 39,526 survelan aktif dan 1,119 survelan pasif untuk mengawal penularan wabak rabies dilakukan oleh JPVS di kawasan Serian, Kuching dan Sri Aman.

“Operasi bersepadu yang dikendali Kementerian Kerajaan Tempatan bersama JPVS setakat ini juga telah menangkap 1,261 ekor anjing terbiar di Kuching, Serian, Sri Aman, Sarikei, Samarahan dan Betong,” ujar JPBNS lagi.

Sambil menambah, ia sebagai langkah mengawal populasi anjing terbiar bagi mengekang jangkitan wabak penyakit rabies.

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan 53 kes gigitan baharu dilaporkan pada hari ini, iaitu 12 kes di Serian, 39 kes di Kuching dan dua kes di Samarahan.

Kata JPBNS, daripada jumlah itu, 48 kes melibatkan haiwan peliharaan, iaitu anjing 34 kes, kucing 12 kes dan monyet dua kes, manakala lima kes lagi melibatkan haiwan liar atau tidak bertuan, iaitu kucing empat kes dan tupai satu kes.

“Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan haiwan yang berlaku mulai sejak 1 April lalu hingga ke hari ini adalah berjumlah 3,029 kes dan secara kumulatif seramai 1,083 orang menerima suntikan vaksin anti-rabies,” kata JPBNS.

Dayakdaily.com sebelum ini melaporkanwabak rabies telah meragut lima nyawa di Sarawak. – dayakdaily.com