Dua penagih ditahan, sembunyi dadah dalam kocek seluar

polis berjaya menahan dua lelaki selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah menerusi dua serbuan berasingan di Lawas - PDRM

LAWAS – Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Itulah perumpaan tepat bagi menggambarkan kelicikan dua orang penagih dadah yang sering melepaskan diri daripada pihak berkuasa selepas terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di sekitar daerah ini.

Semalam polis berjaya menahan dua lelaki selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah menerusi dua serbuan berasingan.

Kedua-dua kaki bahan terlarang itu diberkas oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Lawas.

Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek pertama iaitu lelaki berusia 35 ditahan di tepi jalan Kampung Gaya Lama di sini.

Manakala katanya, suspek kedua berusia 25 tahun di tepi jalan Kampung Belangsat, Lawas.

“Siasatan awal mendapati suspek pertama bekerja sebagai mekanik, manakala suspek kedua tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

“Pemeriksaan lanjut, polis menemui dadah disyaki jenis syabu daripada kedua-dua suspek.

“Masing-masing memiliki 0.8 gram dan 0.3 gram dadah jenis syabu yang disembunyikan di dalam kocek seluar mereka” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, kedua-dua suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, ujian air kencing yang dilakukan turut mendapati mereka positif dadah Ampthetamine dan Metphamphetamine.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi. – dayakdaily.com