Dua pegawai HDC Sarawak direman tujuh hari bantu siasat kes rasuah

Seorang jurutera dan juruteknik kanan direman tujuh bagi membantu siasatan berhubung tender mengecat dan membaik pulih yang tidak dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik di sebuah flat di Permyjaya, Miri. - dayakdaily.com

KUCHING : Dua pegawai Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak masing-masing seorang jurutera dan juruteknik kanan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tender mengecat dan membaik pulih yang tidak dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik di sebuah flat di Permyjaya, Miri.

Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu diluluskan oleh Majistret Zaiton Annuar.

Bagaimanapun, proses tahanan reman bagi seorang lagi suspek ditangguhkan kerana lelaki tersebut akan menunaikan haji pada minggu depan.

Permohonan reman itu adalah bagi membolehkan SPRM memulakan siasatan kes terhadap Laporan Audit Negara 2016 yang dikeluarkan pada 31 Julai lalu.

Permohonan reman dilakukan oleh pegawai pendakwa SPRM, Mohd Ikhwan Ibrahim.

Khamis lalu, jurutera berusia 39 tahun dan juruteknik kanan berusia 59 tahun tersebut ditahan sekitar pukul 12 tengah hari hingga 1.20 petang selepas sepasukan SPRM menyerbu pejabat HDC untuk mendapatkan bahan bukti.

Dua lagi yang ditahan adalah kontraktor utama yang berusia 49 tahun.

Tender bagi projek tersebut telah dibuka oleh HDC Sarawak pada April 2015 bagi kerja-kerja mengecat dan membaik pulih 12 unit rumah flat 2 tingkat yang terbakar di Miri.

Namun, syarikat kontaktor tersebut pada 2016 telah membuat tuntutan pembayaran berjumlah RM11,969 kepada HDC sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilakukan.

Perakuan kerja siap juga telah dikeluarkan oleh pihak HDC pada November 2015 meskipun kerja-kerja mengecat dan membaik pulih sebanyak 12 unit rumah pangsa tersebut gagal dilaksanakan. – dayakdaily.com