Dua beradik mangsa rogol ditempatkan di rumah perlindungan selepas mendapat perintah mahkamah

Perbuatan keji empat sekeluarga yang disyaki merogol seorang gadis iaitu anak kepada seorang suspek di Kampung Daha Seroban, Serian sejak enam tahun lalu terbalas apabila kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram. - dayakdaily.com

KUCHING – Dua beradik yang menjadi mangsa rogol empat sekeluarga di Kampung Daha Seroban, Serian sejak enam tahun lalu kini ditempatkan di rumah perlindungan selepas mendapat perintah mahkamah.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, seorang mangsa yang berusia 14 tahun akan ditempatkan di Rumah Kanak-kanak di bawah selian Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Bagaimanapun katanya, kakak mangsa yang kini berusia 19 tahun dan dalam keadaan mengandung selama 25 minggu diletakkan di bawah perlindungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Serian.

“Kita tidak dapat menempatkan mangsa yang berusia 19 tahun itu bersama adiknya disebabkan umur dia sudah melepasi 18 tahun.

“Ini kerana, syarat utama kanak-kanak yang ditempatkan di situ mestilah di bawah umur 18 tahun sahaja,” katanya di sini hari ini.

dayakdaily.com sebelum ini melaporkan perbuatan keji empat sekeluarga yang disyaki merogol seorang gadis iaitu anak kepada seorang suspek di Kampung Daha Seroban, Serian sejak enam tahun lalu terbalas apabila kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram.

Jika sabit kesalahan, kesemua suspek boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

Suspek tersebut terdiri daripada seorang datuk, bapa kandung dan dua bapa saudara kepada gadis berusia 19 tahun itu.

Kesemua suspek berusia antara 26 hingga 57 tahun. – dayakdaily.com