Dua beradik malang yang dijangkiti virus rabies hembus nafas terakhir

The two siblings who are rabies victims succumb to their failing condition. - Dr Sim Kui Hian Facebook page

KUCHING – Dua beradik malang yang disyaki positif virus rabies atau penyakit anjing gila sejak minggu lalu disahkan menghembuskan nafas terakhir mereka di Hospital umum Sarawak (HUS) di sini hari ini.

Mangsa pertama, Monica Mazlan, 6, disahkan meninggal dunia pada pukul 1.43 petang, manakala adiknya Jackson Mazlan, 4, kira-kira tiga minit kemudian.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr. Sim Kui Han berkata, adik beradik berasal dari Kampung Puon, Sungai Rimu, Serian itu merupakan antara tiga kanak-kanak yang disyaki dijangkiti virus rabies.

Bagaimanapun katanya, seorang lagi pesakit iaitu seorang budak perempuan berusia tujuh tahun dari Kampung Lebur, Gedung masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di HUS di sini dan berada dalam keadaan kritikal.

“Kedua-dua pesakit yang dijangkiti virus rabies itu telah didiagnosis mati otak.

“Selepas mengambil kira pandangan ahli keluarganya, mereka telah bersetuju untuk mencabut mesin hayat yang dipasang kepada kedua-dua adik beradik malang itu,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Sim memberitahu, Jabatan Kesihatan Negeri sudah menghantar 11 pasukan ke Serian bagi menjalankan operasi “Mengesan Kes Aktif”.

Katanya, buat masa ini, sebanyak 19 buah kampung sudah dilawati melibatkan 2,098 rumah dan menjalankan pemeriksaan ke atas 6,094 penduduk kampung.

“Setakat ini, kita menerima sebanyak 68 kes serangan anjing yang direkodkan bermula 1 April lalu hingga semalam,” ujarnya lagi.

Sementara itu, tinjauan dayakdaily.com di HUS
mendapati, mayat kedua-dua kanak-kanak itu sudah dibawa pulang ke Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian pada pukul 4.45 petang untuk urusan pengebumian.

Pada 30 Jun lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiga kanak-kanak termasuk dua beradik dijangkiti virus rabies di Kampung Paon Sungai Rimu Bakung dan Kampung Lebur, Gedong, dalam daerah Serian, dan sedang dirawat di ICU HUS.

Dua beradik terbabit, kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan kakaknya enam tahun, manakala mangsa ketiga kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun. – dayakdaily.com.