DBKU pergiat operasi tangkap anjing liar

File pics - dayakdaily.com

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) prihatin dengan situasi semasa berkenaan wabak rabies pada masa ini.

Jurucakapnya berkata, melalui Pasukan Menangkap Anjing DBKU, yang terdiri daripada dua pasukan dengan kekuatan lapan orang anggota, DBKU mempergiatkan operasi penangkapan anjing terbiar secara besar-besaran di kawasan Kuching Utara.

“Malah, Pasukan Menangkap Anjing DBKU turut diminta untuk menangkap anjing terbiar di luar kawasan DBKU seperti di kawasan Serian, Tebedu, Siburan , Batu 10 dan Semeba menerusi operasi bersepadu bermula 14 Julai yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, melalui operasi bersepadu ini, 90 tangkapan telah dibuat oleh DBKU.

“Setakat 26 Julai 2017 di kawasan DBKU sendiri 85 tangkapan telah dibuat.

“Operasi DBKU ini akan diteruskan bagi memastikan penularan wabak rabies terkawal,” katanya.

Katanya, apa yang paling penting adalah peranan masyarakat itu sendiri yang mana mereka perlu peka akan persekitaran sekeliling.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, elakkan memegang haiwan terbiar. Bagi mengelakkan kawasan kejiranan anda dikunjungi oleh anjing terbiar, janganlah memberi makanan kepada anjing terbiar ini.

“Jagalah kebersihan kawasan kejiranan anda kerana kawasan yang kotor dengan sampah sarap sarap dan sisa makanan akan menarik perhatian anjing terbiar ini mencari makanan,” katanya.

Katanya, bagi pemilik anjing dan kucing pastikan haiwan peliharaan sentiasa berada di dalam kawasan rumah masing-masing bagi mengelakkan jangkitan virus serta diberi suntikan pencegahan vaksin anti –rabies.-dayakdaily.com