David umum ‘berehat’, Pengiran Bala memangku jawatan ketua jurulatih Sarawak

David Usop (kiri) bercakap dalam sidang akhbar di Stadium Negeri hari ini.-dayakdaily.com

KUCHING – Selepas berdepan dengan tiga kekalahan berturut-turut dalam aksi Piala Malaysia dan Liga Super, ketua jurulatih Sarawak, David Usop akhirnya mengambil keputusan untuk ‘berehat’ sementara daripada tugasnya itu sehingga akhir musim ini.

David membuat keputusan ‘merehatkan diri’ kurang 24 jam selepas skuad kendaliannya tewas 1-3 kepada Felda United dalam aksi Liga Super 2017 di Stadium Negeri, malam tadi.

Skuad Bujang Senang turut mengalami kekalahan besar ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 4-0, sebelum tewas 2-1 ke atas Selangor selang beberapa hari kemudian.

“Tiada sebarang desakan daripada mana-mana pihak kepada saya sebelum saya mengambil keputusan untuk ‘berehat’ daripada tugas saya selaku ketua jurulatih Sarawak.

“Keputusan ini diambil atas rasa tanggungjawab saya sebagai jurulatih profesional. Faktor kekalahan tiga kali berturut-turut sebelum ini juga merupakan antara faktor kepada saya untuk ‘berehat’,” katanya dalam sidang media di Stadium Negeri, hari ini.

Bekas penolong jurulatih kepada Robert Alberts itu memberitahu, beliau tetap yakin dengan kemampuan skuad Bujang dalam menghadapi baki saingan Liga Super 2017 dan Piala Malaysia 2017.

Jelasnya, pasukan Sarawak memerlukan ‘angin’ serta tenaga baharu bagi mengemudi pasukan yang ditinggalkan selepas ini.

“Dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan penghargaan kepada pihak pengurusan FAS kerana memberi peluang kepada saya untuk mengemudi skuad Bujang Senang selepas pengunduran Datuk K. Rajagobal,” ujarnya lagi.

Sementara itu, FAS dalam satu kenyataan akhbar berkata, pihak pengurusan FAS menghormati keputusan David yang mengumumkan untuk ‘berehat’ sementara.

Kata kenyataan itu, FAS ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan menghargai segala jasa beliau dalam menguruskan pasukan Sarawak sehingga beberapa kali kekal di dalam saingan Liga Super.

“FAS juga mengumumkan jawatan ketua jurulatih akan dipangku oleh Pengiran Bala bagi mengharungi baki saingan Liga Super 2017 dan Piala Malaysia 2017,” kata kenyataan itu.

Sarawak kini menduduki tangga ke-10 dalam Liga Super dengan mengumpul 14 mata hasil tiga kemenangan dan lima seri.-dayakdaily.com