Daging Khinzir Antara 13 Barangan Terkawal Sempena Hari Gawai Dan Pesta Kaamatan


KUCHING : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini mengumumkan 13 barangan terkawal dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) sempena Hari Gawai dan Pesta Keamatan 2017.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelaksanaan skim kawalan harga tersebut hanya melibatkan Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut beliau, SKHMP ini akan dilaksanakan bermula 25 hingga 31 Mei di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, manakala di Sarawak bermula 27 Mei hingga 2 Jun depan.

Senarai Barangan Kawalan

“Antara 13 barangan kawalan tersebut ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua hidup, kepak ayam, telur ayam gred A, B dan gred C.

“Daging kerbau import (India), bawang merah kecil (India), bawang putih (China), daging khinzir (perut), daging khinzir (daging dan lemak) dan khinzir hidup turut dikawal,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran SKHMP sempena Hari Gawai dan Pesta Keamatan 2017 di sini hari ini.


Difahamkan bahawa harga bagi khinzir hidup dikawal di peringkat peladang.

Dalam pada itu, Hamzah memberitahu, harga runcit bagi ayam hidup ditetapkan dari RM6.60 sehingga RM8.70 sepanjang pelaksanaan skim kawalan harga tersebut.

Manakala katanya, harga bagi daging khinzir pula dijual pada harga RM18 hingga RM20 sekilogram.

“Selain itu, harga runcit bagi telur ayam gred A dijual bermula 0.38 sen hingga 0.42 sen, kubis bulat import dijual pada harga RM4 hingga RM6,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau mengingatkan kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat peniaga yang menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

Malah tegasnya, para peniaga perlu meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain.

“Individu boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala pertubuhan atau syarikat, denda maksimum tidak melebihi RM500,000 atau boleh dikompaun sehingga RM250,000.

“Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda RM10,000 atau dikenakan kompaun RM5,000, manakala bagi syarikat boleh didenda RM20,000 atau dikenakan kompaun sehingga RM10,000,” katanya. – dayakdaily.com

Share this article!