Cungkil bakat atlet baharu untuk sukan angkat berat

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Persatuan Angkat Berat Negeri Sarawak (PABNS) akan turun ke daerah-daerah di negeri ini bagi mencari bakat baharu untuk digilap dalam sukan tersebut.- dayakdaily.com

KUCHING – Lebih ramai bakat-bakat baharu dari kawasan luar bandar bakal digilap dan diketengahkan dalam sukan angkat berat sekali gus mewakili Sarawak di pentas sukan domestik dan antarabangsa pada masa depan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Persatuan Angkat Berat Negeri Sarawak (PABNS) akan turun ke daerah-daerah di negeri ini bagi mencari bakat baharu untuk digilap dalam sukan tersebut.

Menurutnya, setakat ini terdapat tujuh pusat kecemerlangan atau pusat pencarian bakat untuk atlet angkat berat di seluruh negeri ini iaitu di Limbang, Miri, Sibu, Bakong, Tinjar, Demak termasuk Kuching.

“Penganjuran kejohanan Sukan Sarawak (SUKSA) 2017 juga bakal menjadi landasan tepat untuk mencungkil lebih ramai bakat-bakat baharu yang berpontensi untuk diketegahkan pada SUKMA 2018 di Perak Darul Ridzuan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Latihan Elit Sukan Angkat Berat, Majlis Sukan Negeri Sarawak di Crossfit Kuching, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Snowdan Lawan, Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Dr Ong Kong Swee dan Presiden PABNS, Gerald Rentap Jabu.

Dalam pada itu, Abdul Karim memberitahu, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM10.9 juta dalam usaha menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri terulung dalam bidang sukan di Malaysia.

Katanya, peruntukan di bawah Bidang Keberhasilan Utama (KRA) itu diyakini mampu memacu pembangunan arena sukan di negeri ini ke tahap tertinggi.

“Pembangunan sukan merupakan antara enam KRA untuk Sarawak selaras dengan sasaran kerajaan negeri menjadi ‘kuasa besar sukan’ di negara ini pada masa depan.

“Justeru, tumpuan kita sekarang ialah menerusi program pembangunan sukan dari peringkat akar umbi hingga ke atlet-atlet dan jurulatih,” katanya.

Mengulas keperluan sama ada Sarawak memerlukan lebih ramai jurulatih asing dalam beberapa sukan tumpuan, Abdul Karim memberitahu, keputusan tersebut adalah berdasarkan keperluan semasa memandangkan masih terdapat jurulatih tempatan yang turut memiliki kemampuan serta kualiti tinggi.

“Setakat ini, terdapat beberapa jurulatih asing yang diambil untuk melatih para atlet Sarawak dalam sukan akuatik, renang, basikal, gimnastik serta lain.

“Namun, bagi sukan angkat berat ini, kita masih mengekalkan beberapa jurulatih tempatan,” ujarnya. – dayakdaily.com