Cuba padam kebakaran, seorang lelaki dipercayai peguam ditemui rentung

KUCHING : Niat cuba padam kebakaran, namun nyawa pula ‘melayang’.

Begitulah nasib malang seorang lelaki apabila dia ditemui rentung selepas dikatakan gagal keluar dari tingkat 3, sebuah bangunan kedai yang musnah terbakar di Jalan Ang Cheng Ho malam tadi.

Difahamkan, tingkat 1 dan 2 di bangunan rumah kedai tersebut adalah pejabat firma guaman, manakala tingkat 3 merupakan kediaman dipercayai milik mangsa.

Menurut sumber, mangsa merupakan seorang peguam berbangsa Cina dan berusia 60-an.

Katanya, semasa kebakaran mangsa tiada di lokasi kejadian, namun selepas dimaklumkan kediamannya di tingkat 3 bangunan tersebut terbakar, dia segera pulang untuk melihat keadaan di situ.

“Orang awam yang kebetulan berada di situ cuba menghalang mangsa naik ke atas, namun dia dikatakan tetap berkeras untuk memadam kebakaran di atas.

“Bagaimanapun, mangsa dipercayai gagal keluar dari tingkat atas akibat terperangkap sebelum ditemui rentung oleh pasukan bomba,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 8.46 malam.

Jelas beliau, sejurus menerima laporan insiden itu, seramai 13 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuching kemudian bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja pemadaman api.

Selain itu ujarnya, 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang turut dikerahkan ke lokasi sebagai pasukan bantuan.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah kediaman di tingkat 3 bangunan rumah kedai di situ.

“Sejurus operasi memadam kebakaran selesai,anggota bomba telah menemui mayat seorang lelaki rentung 100 peratus dalam keadaan terlentang di bahagian ruang tamu di kediaman tersebut,” katanya.

Tiong menambah, selepas melakukan pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, setakat ini pihaknya masih menyiasat punca kebakaran itu.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10.40 malam,” ujarnya lagi. – dayakdaily.com