Calon BN bagi PRK Pujut diumum Jumaat ini

KUCHING – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut bakal diketahui secara rasmi pada Jumaat ini.

Perkara tersebut akan diumumkan oleh Pengerusi BN Sarawak yang juga Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg selepas mesyuarat Majlis Tertinggi BN negeri ini.

Pengumuman nama calon yang bakal mengibar cabaran BN itu dijangka diadakan pada pukul 3 petang.

Abang Johari yang diiringi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya, semalam.

Pertemuan tertutup di pejabat Perdana Menteri itu antara lain adalah untuk memuktamadkan nama calon BN pada PRK DUN Pujut, Julai depan.

Antara nama yang hangat diperkatakan bakal menjadi calon BN ialah Datuk Bandar Miri yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pujut, Adam Yii Siew Sang.

Tidak ketinggalan, parti mesra BN iaitu Parti Rakyat Bersatu (UPP) turut dikatakan telah mengemukakan nama Ketua UPP Cawangan Pujut, Bruce Chai selain tiga nama ahli jawatankuasa UPP Cawangan Senadin, Keith Chan, Lawrence Kong, dan Suzanne Lee.

Bagaimanapun, keputusan sama ada BN akan memilih calon dari SUPP atau UPP sebagai calon langsung BN tidak dapat dipastikan lagi sehingga pengumuman oleh Ketua Menteri kelak.

Paling utama, calon BN mestilah calon boleh menang dan mampu membawa ayunan sokongan kepada BN kerana kerusi Pujut merupakan kubu kuat DAP.

PRK DUN Pujut diadakan berikutan pelucutan kelayakan keanggotaan penyandangnya, Dr Ting Tiong Choon daripada DAP sebagai ADUN oleh DUN Sarawak pada 12 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 pada 7 Mei tahun lalu, Tiong Choon memenangi kerusi DUN Pujut dengan meraih 8,899 undi mengatasi calon BN, Datuk Hii King Chiong yang meraih 7,140 undi manakala calon PAS, Jofri Jaraiee (413) dan Fong Pau Teck dengan 375 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Pujut pada 4 Julai depan, manakala hari penamaan calon pada 20 Jun ini.-dayakdaily.com