Bukan Orang Ulu, namun Saufi berjaya angkat nama Malaysia dalam pentas antarabangsa

Saufi Aiman Yahya percaya keunikan yang ada dalam masyarakat majmuk di Sarawak perlu diketengahkan di mata dunia. - dayakdaily.com

KUCHING – Meskipun beliau bukannya berasal dari kalangan masyarakat Orang Ulu, namun bakat Saufi Aiman Yahya dalam permainan alat muzik tradisional suku kaum Kenyah iaitu sape begitu menyerlah dalam pentas antarabangsa.

Terbaharu, pemain sape profesional itu berjaya melakar sejarah buat Malaysia apabila memenangi empat pingat emas dalam Kejohanan Dunia Pertunjukan Seni ke-21 (WCOPA) yang berlangsung di Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Pemain muzik profesional yang berasal dari Kuching itu muncul johan dalam kategori Terbuka, Jazz, Kontemporari dan Klasik atau Tradisional.

“Kejayaan memenangi empat pingat emas di peringkat antarabangsa merupakan hadiah kepada Malaysia dan Sarawak amnya.

“Memang sudah lama menjadi impian saya untuk mewakili negara dalam pertandingan seumpamanya, apatah lagi memenangi pingat sudah pasti saya rasa berbangga,” katanya.

Selain itu, Saufi yang berusia 27 tahun turut berjaya memenangi tiga gelaran Juara Dunia dalam kategori Jazz, Kontemporari dan Klasik atau tradisional, begitu juga pingat perak dalam kategori Karya Asli.

WCOPA merupakan pertandingan antarabangsa khusus bagi para penghibur atau bakat muda bercita-cita tinggi yang diadakan secara tahunan di Long Beach, California.

Tahun ini, WCOPA diadakan pada 29 Jun hingga 9 Julai lalu. – dayakdaily.com

Ends